Wednesday, May 19, 2010

Minda: Benjy dan undang-undang

Oleh Ramasamy Chellachamy

2010/05/19

SEANDAINYA Khaireyll Benjamin Ibrahim, 31, bukan artis, tiada apa yang ‘pelik’ dengan penahanannya selama dua tahun mengikut undang-undang pencegahan dadah negara.

Namun, disebabkan Benjy seorang pelakon, kesnya mendapat hebahan luas media massa dan seolah-olah ‘istimewa’ sedangkan ribuan rakyat Malaysia lain turut ditahan dan dihantar untuk ‘proses pemulihan’ sejak Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dikuatkuasakan.


Dan ada antara tahanan itu, sebagaimana Benjy, mengemukakan permohonan habeas corpus dan berjaya membebaskan diri daripada penahanan terutama dengan menekan aspek teknikal undang-undang akta berkenaan.


Kes Benjy bermula dengan tajuk yang besar. Media cetak dan elektronik pada 13 Mac lalu melaporkan seorang artis lelaki ditangkap dua hari sebelumnya kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.


Dia dilaporkan menjadikan kondominium mewahnya di Kepong sebagai tempat memproses kokain dan syabu.


Polis dipetik sebagai berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai RM2,000 tersorok di dalam sebuah bilik di kediaman berkenaan.


Sejumlah peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah turut dilaporkan ditemui dalam gerakan yang dilancar berasaskan maklumat awam dan risikan polis selama seminggu.


Ujian air kencing yang dijalankan ke atas Benjy dan seorang rakan wanitanya, yang turut ditahan polis, juga dilaporkan positif, tetapi Benjy dikatakan tidak menganggotai mana-mana sindiket terancang, sebaliknya bergerak secara individu.


Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pada 25 Mac, Benjy dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan dikenakan pertuduhan memiliki 0.24 gram syabu di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2 Jalan 1/38B, Jalan Segambut pada jam 4 petang, 11 Mac lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika terbukti bersalah.

Benjy kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000. Tetapi kekecohan tercetus apabila dia ditahan semula oleh polis di luar kaunter pembayaran wang jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejurus selepas ibunya, Azean Irdawaty melunaskan jaminan.

Polis kemudian memaklumkan pelakon itu ditahan menurut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).


Seksyen itu menyebut seseorang pegawai polis dibenarkan menangkap atau menahan seseorang tanpa waran selama 60 hari bagi tujuan siasatan jika wujud alasan bagi mempercayai orang itu terlibat dalam sebarang aktiviti pengedaran dadah. Drama penahanan semula itu dipaparkan media massa yang menyaksikan Azean bergenang air mata, sekali gus mengundang simpati ramai.


Ini memaksa polis melakukan sesuatu yang amat jarang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) - mendedahkan apa yang didakwa sebagai bukti bagi menunjukkan Benjy sememangnya berjinak-jinak untuk memproses dan mengedar dadah.

Sebelumnya, Azean memberitahu polis tidak menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 sebagai didakwa pada awalnya, sebaliknya ia hanya sodium bikarbonat atau serbuk penaik sendiri namun PDRM tidak memohon maaf terhadap kesilapan kenyataan yang disebarkan kepada umum.

Dalam sidang media mendedahkan apa dikatakan bukti pembabitan Benjy, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata pelakon itu dipercayai belajar kaedah membuat syabu menerusi Internet sejak enam bulan.


Beliau dipetik sebagai berkata perkara berkenaan terbongkar hasil penemuan ‘pen drive’ yang mengandungi 11 artikel bertajuk ‘The Secrets of Methamphetamine Manufacture’ yang disembunyikan di sebuah stor rahsia di tingkat 10 kondominium mewah yang menjadi kediaman Benjy.

Katanya, pelbagai peralatan termasuk beberapa botol cecair kimia, dipercayai bahan campuran membuat syabu turut ditemui dalam stor itu. Sambil menegaskan pihaknya bukan mahu menganiaya sesiapa sesiapa seperti didakwa, Muhammad Sabtu berkata polis pada awalnya tidak mahu mendedahkan penemuan itu, namun terpaksa berbuat demikian bagi menghentikan pelbagai spekulasi yang timbul.


Dengan penahanan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas), Benjy tidak mempunyai pilihan melainkan mengemukakan permohonan habeas corpus kerana pada waktu itu terdapat kemungkinan pelakon berkenaan akan ditahan untuk tempoh dua tahun mengikut Seksyen 6 akta berkenaan.


Seksyen 6 menyentuh kuasa mengarahkan penahanan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun oleh menteri jika si menteri berpuas hati bahawa orang berkenaan terlibat dalam pengedaran dadah.

Dan itu yang dilakukan pada 8 April lalu apabila Benjy memfailkan permohonan bagi mendapatkan pembebasan segera dengan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden. Benjy memohon bagi mendapatkan perisytiharan bahawa penangkapan dan penahanannya sebagai tidak sah.

Dalam hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sofian Abd Razak, peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, memberitahu polis pada awalnya berniat mendakwa anak guamnya atas pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana kekurangan bukti.

Disebabkan terdesak, katanya, polis hanya mendakwa Benjy memiliki syabu dan mengguna pakai Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) untuk memberkasnya semula.


Sehubungan itu, Amer menegaskan penahanan Benjy tidak mengikut undang-undang, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mala fide atau berniat jahat.


Amer turut berhujah anak guamnya tidak diberikan alasan mengapa ditahan semula di luar mahkamah selepas dikenakan pertuduhan memiliki dadah dan dibebaskan setelah membayar wang jaminan.


Dalam hujah balasnya, Peguam Kanan Persekutuan, Najib Zakaria berkata penahanan semula Benjy sah dan terpakai di sisi undang-undang berdasarkan fakta dan latar belakang kes berkenaan.


Beliau berkata sebab musabab kepada pemberkasan semula itu sudah diterangkan oleh pegawai yang menahan kepada Benjy dan pelakon itu menandatangani satu borang sebagai mengesahkannya.


Pada 5 Mei lalu, Mohd Sofian dalam keputusannya menolak permohonan habeas corpus Benjy selepas mendapati penahanan semula pelakon itu sah.


Bagaimanapun, sebelum penghakiman itu diberikan, Benjy sudah diarah ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor bermula 4 Mei lalu.


Arahan itu dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri sehari sebelumnya, kira-kira 18 hari sebelum perintah tahanan 60 hari mengikut Seksyen 3 yang dikenakan terhadap Benjy berakhir. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) akan dilanjutkan penguatkuasaan selama lima tahun lagi bermula 15 Jun tahun ini.


Undang-undang itu yang dikuatkuasakan sejak 15 Jun 1985 menyaksikan seramai 16,712 orang termasuk 18 rakyat asing dikenakan perintah tahanan di pusat pemulihan, tertakluk kepada keseriusan kesalahan, manakala 10,612 orang dikenakan perintah sekatan.


Malaysia sememangnya memiliki undang-undang antidadah yang menyeluruh. Di samping Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas), negara juga memiliki Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.


Minggu lalu, Benjy didakwa lagi di Mahkamah Majistret dengan dua pertuduhan tambahan memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu dan memasukkan dadah yang sama ke dalam badannya, dua bulan lepas.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Benjydanundang-undang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...