2010/05/28
KUALA LUMPUR: Kecewa dengan tindakan bekas suami yang menceraikan tanpa sebab hanya selepas dua bulan usia perkahwinan mereka sedangkan ketika itu dia tertekan akibat mengalami keguguran, seorang wanita memfailkan permohonan tuntutan mutaah RM600,000.
Rubina Mohd Amin, 30, (plaintif) dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam berkata, dia bernikah dengan Muhammad Surinder Singh Pritam Singh, 48, (defendan) pada 1 Januari 2009 dan diceraikan pada 1 Mac 2009.
“Saya disahkan mengandung pada penghujung Januari, bagaimanapun mengalami keguguran. Selepas membuat proses mencuci rahim, saya dibawa pulang ke rumah ibu oleh bekas suami. Ketika di rumah itu, dia (Muhammad Surinder melihat iklan di televisyen berhubung slot rancangan televisyen. “Slot itu bakal menyiarkan majlis pernikahan kami pada keesokan harinya. Dalam perjalanan pulang ke rumah pada malam itu, dia (Muhammad) mengatakan jika ia disiarkan di televisyen, dia menceraikan saya. Saya amat tertekan,” katanya ketika menjawab soalan peguam syarie Mohd Ridhwan Husin.
Rubina berkata, keesokan harinya, selepas menonton rancangan itu pada jam 2.40 petang, Muhammad Surinder masuk ke dalam bilik tidur mereka (Rubina ketika itu sedang tidur) dan membaling semua barang termasuk menumbuk almari dan pintu.
“Dia tidak berpuas hati majlis akad nikah itu disiarkan di televisyen. Ketika itu dia juga mengatakan tidak mahu lagi menjadi Muslim dan mahu kembali semula kepada agama asalnya. Dia juga meludah dan hampir memukul saya. Dia juga ada melafazkan ‘saya ceraikan awak’.
“Plaintif juga ada membaling kad perakuan Islamnya kepada saya. Ketika itu ibu, kakak serta abang datang mengambil saya. Sehingga hari ini, tiada perbincangan dibuat dan dia tidak pernah berdepan dengan saya atau keluarga saya,” katanya.
Menurut Rubina, Muhammad Surinder memeluk Islam pada 14 November 2008 atas kerelaan sendiri dan tiada paksaan darinya.
“Sebelum berkahwin saya bekerja sebagai pramugari dengan pendapatan RM5,000 sebulan bagaimanapun saya berhenti apabila bekas suami memujuk. Dia seorang cemburu dan berjanji memberi elaun RM4,000 sebulan.
“Bagaimanapun, dia tidak memberi elaun itu. Kos perkahwinan kami dalam anggaran RM100,000 membabitkan majlis nikah, majlis minum petang, majlis di hotel, hantaran, barang kemas dan sebagainya ditanggung saya dan keluarga,” katanya.
Ketika itu katanya, Muhammad Surinder berjanji memulangkan semula wang digunakan untuk majlis perkahwinan itu atas alasan mengalami masalah kewangan.
Muhammad Surinder diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan bagaimanapun tidak hadir berikutan mempunyai kes di mahkamah lain dan diwakili Nur Fitriah Zakaria.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Mohd Radzi Abd Latif bersambung 22 Julai depan
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FailmutaahRM600_000/Article
No comments:
Post a Comment