Friday, May 28, 2010

Halau pasangan maksiat penipu

Oleh Zaitie Satibi

2010/05/28

KUANTAN: Tindakan sepasang remaja menipu status hubungan dengan mendakwa baru berkahwin untuk tinggal bersekedudukan dan menyewa sebuah rumah di Jalan Wong Ah Jang, sejak 10 bulan lalu sehingga melahirkan seorang bayi, menyebabkan mereka dihalau pemilik kediaman berkenaan yang berang selepas mengetahui kisah sebenar.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama negeri, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, pemilik rumah sewa berkenaan bertindak demikian selepas menyedari tertipu dengan lagak baik pasangan remaja terbabit yang kononnya mendakwa baru bernikah dan ingin memulakan hidup baru dengan berdikari.


Menurutnya, pemilik rumah sewa itu yang menyangkakan mereka pasangan suami isteri sah kemudian membenarkan mereka menyewa bilik di tingkat bawah rumahnya.


“Bagaimanapun rahsia yang disimpan rapi pasangan terbabit terbongkar dan diketahui pemilik rumah sewa berkenaan selepas remaja perempuan berusia 17 tahun itu melahirkan anak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) pada 20 Mei lalu.


“Ini menyebabkan pemilik rumah sewa itu berang kerana sudah tertipu sebelum memberi kata dua kepada remaja terbabit untuk meninggalkan rumah sewanya kerana tidak mahu kediaman itu menjadi sarang maksiat,”
katanya, semalam.


Ahmad Raffli berkata, sepasukan penguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kemudian membuat pemeriksaan ke rumah sewa itu dua hari selepas remaja perempuan itu melahirkan anak.


“Bagaimanapun, kedatangan kami lebih kepada pendekatan membantu pasangan terbabit yang terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah daripada dihalau keluar oleh tuan rumah,” katanya.


Beliau berkata, pasangan terbabit diberi kaunseling agama, selain diminta bertanggungjawab terhadap kebajikan bayi yang dilahirkan, sekali gus mengelak kes buang bayi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Halaupasanganmaksiatpenipu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...