2010/05/28
SHAH ALAM: Seorang pelajar sekolah ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang bayi yang ditemui tertimbus berhampiran landasan kereta api, Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, Isnin lalu.
Remaja berusia 17 tahun itu ditahan sekitar daerah ini kira-kira jam 9 pagi semalam dan polis yakin dengan penahanan pelajar terbabit boleh membantu menyelesaikan kes itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya kini mengesan pasangan remaja terbabit dan meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu berhubung balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Turut dicari dua lagi individu yang dipercayai terbabit kejadian sehingga bayi yang tidak cukup bulan itu mati dan ditanam di kawasan itu.
“Remaja terbabit tidak mengalami sebarang masalah komplikasi dan kami akan mendapatkan reman esok (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Noor Azam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
“Hasil bedah siasat ke atas mayat bayi berkenaan mendapati ia dilahirkan tidak cukup bulan dan punca kematian masih disiasat,” katanya.
Remaja itu kini ditahan dilokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam.
Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan mayat bayi lelaki cukup sifat ditemui ditanam berhampiran landasan kereta api, Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini. Mayat bayi itu dipercayai dilahirkan kurang 24 jam, ditemui kira-kira jam 9.15 malam oleh seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang curiga selepas terlihat longgokan tanah merah yang masih baru berbentuk kubur, kira-kira satu meter dari landasan berkenaan.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan individu tidak bermoral itu terbongkar walaupun mayat ditanam di kawasan terpencil daripada pandangan umum. Hasil bedah siasat mayat mendapati bayi berkenaan dilahirkan tidak cukup bulan dan baru berusia antara enam hingga tujuh bulan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarditahan/Article
No comments:
Post a Comment