MELAKA: Selepas menghilangkan diri hampir enam bulan, seorang remaja perempuan dikesan tinggal bersama kekasihnya di sebuah rumah di Pokok Mangga di sini, kelmarin.
Penemuan remaja berusia 18 tahun yang menghilangkan diri sehari sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November lalu, sepatutnya menjadi berita gembira bagi ibu bapanya.
Bagaimanapun, pertemuan itu tidak membawa makna atau gembira kerana remaja terbabit enggan mengikut keluarganya pulang dengan alasan mahu tinggal dengan kekasihnya yang berusia 20-an itu.
Malah, kerana tidak mahu ibu bapanya mengganggu serta mencarinya lagi, dia tergamak membuat laporan polis pada malam itu dengan menyatakan tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya kerana sudah dewasa.
Tindakan biadap remaja terbabit bagaikan tersilap langkah apabila dia pula ditahan polis selepas pemeriksaan pada rekod laporan menunjukkan dia pernah menghilangkan diri dan remaja berkenaan terus diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, siasatan dilakukan terhadap remaja berkenaan turut mendapati dia hamil anak tidak sah taraf hasil perhubungan dengan kekasihnya itu.
Katanya, remaja berkenaan turut mengakui dia tinggal sebilik dengan lelaki bukan beragama Islam itu sejak dia menghilangkan diri.
“Remaja perempuan itu kini sudah hamil lima bulan dan mengakui hamil disebabkan terlanjur bersama kekasihnya itu,” katanya, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment