Friday, May 28, 2010

'Kami hanya teman biasa'

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Muhammad Apendy Issahak

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Dia hanya kawan biasa, tiada apa-apa hubungan antara kami tapi disebabkan cemburu buta isterinya, saya dimalukan di khalayak ramai,” kata penyampai berita sebuah stesen televisyen menjelaskan dakwaan dia menjalin cinta dengan suami kepada seorang wanita Uzbekistan sehingga diserang di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

BUKTI...gambar kereta penyampai berita yang dicalar.
BUKTI...gambar kereta penyampai berita yang dicalar.
Penyampai berita berusia 34 tahun yang enggan namanya disiarkan itu mendakwa, bukan dia seorang saja yang menjadi mangsa serangan isteri lelaki terbabit, malah beberapa wanita lain termasuk kakitangan suaminya turut diperlakukan sedemikian sejak pasangan itu berkahwin.

“Asalkan seseorang wanita itu berkawan atau sekadar bekerja di syarikat suaminya, mereka pasti menjadi sasaran serangan sama ada maki hamun atau dipukul. Suaminya juga diserang sehingga cedera.

“Saya tak tahu apa masalah sebenarnya kerana dia terus serang saya tanpa bertanya atau berbincang terlebih dulu,”
dakwanya yang ditemui di sini, semalam.

Menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, penyampai berita itu berkata, pada 21 Mei lalu dia mendapati keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta di kawasan perumahannya dicalar dan ditulis perkataan maki hamun selain cermin sisi dipecahkan.

“Saya dapati kereta saya dirosakkan kira-kira jam 6.30 pagi ketika mahu menghantar anak lelaki yang berusia sembilan tahun ke sekolah. Berdasarkan pemeriksaan di pondok pengawal, saya dapati wanita Uzbekistan itu datang ke situ kira-kira jam 5 pagi.

“Beberapa hari sebelum ini saya ada menerima beberapa SMS memaki hamun selain berbaur ugutan tapi tidak menghiraukannya, tapi saya ada membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kerana kereta dicalar dan menganggap kejadian itu berakhir di situ saja,” katanya.

Ibu dua anak itu, bagaimana tidak menyangka diserang wanita terbabit bersama ibunya ketika menemani anaknya di sebuah gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah keesokannya.

“Kira-kira jam 5 petang, saya bersama pembantu rumah menemani anak di gimnasium berkenaan sebelum dimaki hamun wanita Uzbekistan itu bersama ibunya.

“Saya hanya mendiamkan diri kerana tak mahu melayan mereka sebelum tiba-tiba dipukul. Rambut saya ditarik, belakang badan dipukul dan muka saya berdarah mungkin dicakar wanita itu.

“Saya tak mampu melawan dan hanya menjerit minta tolong tapi mungkin orang ramai terkejut, mereka hanya tergamam menyaksikan kejadian itu sebelum seorang kakitangan di situ menarik mereka berdua daripada terus memukul saya,”
katanya.

Sementara itu, suami wanita Uzbekistan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ayish, 36, berkata dia kini dalam proses perceraian dengan isterinya kerana tidak tahan dengan sikap cemburu buta wanita terbabit.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...