Friday, May 28, 2010

'Tolong ceraikan saya'

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Apendy Issahak

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Saya tak cemburu buta atau ambil peduli dia mahu buat hubungan dengan sesiapa pun. Tolong ceraikan saya dengan cara baik supaya saya boleh pulang ke Uzbekistan bersama anak dan memulakan hidup baru,” kata Sayyora Mahmudova, 29, isteri kepada rakan seorang penyampai berita yang didakwa menyerang wanita itu di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Sayyora, 29, menafikan dia menyerang wanita berusia 34 tahun itu sebaliknya kejadian pergaduhan berkenaan berlaku disebabkan berlaku tolak menolak antara ibunya dengan penyampai berita berkenaan.


“Saya bersama ibu dan empat anak berada di gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah itu dan terserempak dengan dia serta anaknya di situ.


“Ibu saya mahu berjumpa dengan dia untuk berbincang cara baik selepas mengetahui dia mempunyai hubungan dengan suami saya walaupun saya mahu kami semua beredar kerana keadaan menjadi tidak selesa.


“Dia yang sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan ibu saya bagaimanapun bertindak keterlaluan apabila mengherdik dengan kata-kata kasar sebelum berlaku tolak menolak,” katanya ditemani peguam, Mohammad Hifdzi Hamzah, ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, tidak tahan melihat ibunya diperlakukan sedemikian, dia cuba meleraikan keadaan, tetapi situasi semakin kelam-kabut dengan jeritan dan pergaduhan mula berlaku.


“Keadaan ketika itu cukup kelam-kabut. Sambil mendukung anak, saya cuba mempertahankan diri dan ibu. Mujur kakitangan di situ menenangkan keadaan dengan membawa penyampai berita itu ke tempat lain, tetapi saya dengar dia sempat menghubungi suami saya.


“Apabila suami tiba, kami mula bertengkar dan pergaduhan berlaku sehingga tidak terkawal. Tangan saya dikilas dan mungkin ketika cuba melepaskan diri saya menghentak kepalanya dengan telefon bimbit sehingga berdarah. Keadaan tenang kembali apabila pengawal keselamatan dan orang ramai mula campur tangan membantu,”
katanya.


Sayyora mendakwa sepanjang tujuh tahun berkahwin dengan ahli perniagaan itu, mereka tidak bahagia kerana sikap ‘playboy’ suaminya.


“Dia kerap ‘hilang’ dari rumah selama beberapa bulan tanpa memberitahu apa-apa. Bila dia di rumah, beberapa rakannya membawa masuk wanita ke rumah kami.


“Isteri mana yang mampu bertahan melihat suami bersikap sedemikian, saya dan anak ditinggalkan sesuka hati sedangkan dia tahu saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan dan sehingga bila saya mahu bergantung bantuan daripada sanak-saudara dari Uzbekistan. Saya tidak pernah menyerang atau memukul mana-mana wanita atau kakitangannya. Dia boleh tuduh apa saja tetapi lepaskan saya,”
katanya.

Menurut Sayyora, hubungannya dengan penyampai berita itu sebelum ini cukup akrab umpama adik dengan kakak, tetapi secara tiba-tiba renggang selepas wanita itu berkenalan dengan suaminya.


“Disebabkan suami saya kerap hilang, saya mengupah penyiasat persendirian untuk mengesannya dan dimaklumkan dia kerap berada dengan penyampai berita itu. Saya tidak mempunyai bukti kukuh untuk menuduh mereka mempunyai hubungan sulit, tetapi saya hendak tahu apa sebenarnya kesalahan saya sehingga dia menyeksa saya dan anak sebegini,” katanya.


Sementara itu, Mohammad Hifzi berkata, ibu wanita Uzbekistan itu kini ditempatkan di depot tahanan imigresen di Lenggeng kerana visa lawatannya tamat tempoh dan pihaknya sedang memohon bantuan Wisma Putra menerusi Kedutaan Uzbekistan untuk mendapat kebenaran menghantar wanita berusia 53 tahun itu bersama cucunya pulang ke negara asal.


“Bagi Sayyora pula, kami turut meminta bantuan dan jasa baik pihak berkuasa agar dapat meneliti kes yang dihadapinya kerana dia sekarang berasa tidak selamat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tolongceraikansaya/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...