2010/05/28
KUALA TERENGGANU: “Walaupun anak bongsu saya lumpuh sejak 17 tahun lalu akibat deman panas ketika berusia 40 hari, sehingga kini permohonan mendapatkan bantuan daripada pihak berkenaan masih kabur kerana tiada jawapan.
“Saya merayu pihak berkenaan tampil membantu saya yang hidup dalam kesempitan,” kata Meriam Ngah, 49, dari Kampung Tanjung Paya, dekat sini.
Dia yang juga ibu tunggal berkata, selepas berpisah dengan suami tujuh tahun lalu, dia terpaksa menyara lima daripada enam anaknya dengan pendapatan RM400 sebulan.
Katanya, daripada jumlah itu, dia terpaksa membeli kelengkapan buat anaknya, Mohd Fakhruddin Razali, 17, yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, dia kini bekerja sebagai tukang cuci dan menyewa rumah di kampung pada kadar RM180 sebulan.
Meriam berkata, RM250 diperlukan setiap bulan bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu dan makanan bijirin untuk anaknya itu memandangkan dia tidak mampu bergerak.
“Pernah kami sekeluarga hanya menjamah nasi bersama kicap dan telur bagi mengalas perut berikutan tiada wang membeli keperluan dapur. Ini membuatkan saya menangis memikirkan nasib yang menimpa diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Selain itu, katanya, anaknya Nor Najmiah Razali, 23, yang kini menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) turut memerlukan bantuan kewangan untuk kos pembelajaran.
Menurutnya, dia juga mengalami penyakit lelah sejak 25 tahun lalu dan sering menerima rawatan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Katanya, beberapa permohonan mendapatkan bantuan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak beberapa tahun lalu dan kali terakhir pada 26 Januari lalu, namun masih tiada maklum balas.
Malah, permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) empat tahun lalu juga tidak dilayan.
No comments:
Post a Comment