Saturday, June 5, 2010

Maut didera

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/05

KUALA LUMPUR: Ibarat tahanan! Itulah yang boleh digambarkan nasib kanak-kanak malang, Hazrieq Naufal Abdullah, 3, yang maut akibat didera teman lelaki ibunya di rumah mereka di kondominium di Sentul.

Selain sering dibiarkan keseorangan di rumah dengan dibekalkan sebotol susu, kanak-kanak itu menjadi mangsa panas baran penganggur berusia 25 tahun.


Menurut rakan ibu mangsa yang enggan dikenali, ketakutan dan trauma pada kanak-kanak itu jelas kelihatan apabila dia sendiri pernah melihat keadaan kanak-kanak itu diam, hanya dengan isyarat jelingan daripada teman lelaki ibunya ketika keluar bersama baru-baru ini.


Katanya, ibu kanak-kanak berusia 23 tahun pernah meminta tolong menetap di kediamannya bagi melarikan diri daripada cengkaman teman lelakinya yang panas baran.


“Ibu Hazrieq sering mengadu tidak tahan dengan sikap teman lelakinya yang panas baran. Setiap kali dia keluar bekerja, Hazrieq ditinggalkan bersama teman lelakinya itu yang tidak bekerja sejak berhenti berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan.


Ibu Hazrieq dilarang mempunyai kunci pendua rumah. Apabila pulang bekerja dia bermain dengan anaknya menerusi pintu jeriji sehingga teman lelakinya pulang,” katanya.


Difahamkan, ibu kanak-kanak malang itu menjadi ibu tunggal sejak mangsa dilahirkan Disember 2007 dan bapanya tidak dapat dikesan sehingga kini.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu maut akibat mengalami hentakan kuat di kepala.


“Bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu ‘blunt taruma to the head’ (hentakan objek tumpul di kepala), namun tiada sebarang unsur seksual berlaku ke atasnya.


“Selain itu polis tidak menolak kemungkinan penderaan berlaku untuk beberapa tempoh berdasarkan kesan lebam lama pada tubuh mangsa,”
katanya.


Katanya, polis meragui keterangan ibu dan teman lelakinya mendakwa mangsa jatuh di pangsapuri tempat kediaman mereka.

“Buat masa ini kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga 10 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.


Dalam kejadian Khamis lalu, kanak-kanak itu dibawa ke klinik berdekatan kediamannya di Sentul oleh kedua-dua suspek, namun dipindahkan ke Hospital Selayang kerana tidak sedarkan diri.


Doktor yang memeriksa kanak-kanak itu mendapati dia meninggal dunia sejurus selepas tiba di hospital dan lebih mengejutkan, terdapat beberapa kesan lebam dipercayai akibat didera ditemui di muka, lengan kanan, belakang badan serta kesan luka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautdidera/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...