Saturday, June 5, 2010

Tusuk leher ayah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/06/04

KUALA LUMPUR: Angkara anak durjana, seorang bapa berusia awal 40-an cedera parah di leher selepas ditikam dengan gunting ketika bergelut di rumah mereka di Jalan 9, Jinjang Utara di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa ditikam menggunakan gunting selepas suspek yang berusia awal 20-an hilang pertimbangan kerana dilarang menghisap dadah jenis syabu di kediaman berkenaan.


Sebelum kejadian kira-kira jam 6 petang, bapa terbabit bertengkar dengan anaknya sehingga dua beranak terbabit bergelut.


Menurut sumber, selepas bergelut kira-kira 20 minit, suspek tiba-tiba meluru masuk ke biliknya.


“Suspek kemudian mengambil sebilah gunting sebelum menerkam ke arah bapanya dan menikam lelaki berkenaan sebaik keluar dari bilik berkenaan.


“Mangsa yang terkena tikaman di leher terjatuh sebelum menjerit meminta tolong,”
katanya.


Sumber itu berkata, suspek tidak mempedulikan keadaan bapanya walaupun lelaki itu berlumuran darah, sebaliknya dia dikatakan seperti dirasuk hantu apabila terus membelasah bapanya.


“Bagaimanapun, jeritan bapa mangsa didengari jiran sebelum seorang daripada mereka segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.


Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa yang berlumuran darah terbaring di atas lantai di ruang tamu rumah berkenaan.


Menurut sumber itu, suspek yang tersentak dengan kehadiran pihak berkuasa dikatakan kaku dan tidak mampu melarikan diri.


“Suspek kemudian diberkas sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk siasatan, manakala bapa mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran untuk rawatan kecemasan,” katanya.

Difahamkan, keadaan mangsa agak serius, namun kepantasan pihak berkuasa membawanya ke klinik menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan.


Mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah, semalam selepas doktor yang merawatnya berpuas hati keadaannya sudah stabil.


Sumber itu berkata, suspek ialah seorang penagih dadah tegar dan tinggal berdua dengan bapanya di rumah berkenaan.


Difahamkan, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...