hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/04
KUALA LUMPUR: Baru sebulan mendirikan rumah tangga, namun seorang wanita tidak sedikit pun merasai kemanisan alam bersuami isteri, malah sebaliknya didera secara fizikal dan mental oleh suaminya hampir setiap hari.
Justeru kehidupan wanita berusia 34 tahun itu umpama dalam neraka apabila diperlakukan seperti haiwan termasuk dipukul, diterajang dan dimaki-hamun, biarpun kesalahan dilakukannya kecil.
Antara penyeksaan sadis terpaksa ditempuh pengantin baru itu dipaksa menjamah ikan mentah diletakkan atas kain telekung ketika dia mahu menunaikan solat oleh suaminya yang kejam.
Tidak cukup dengan itu, mangsa ditendang hingga terguling, ditarik rambut selain dipukul dengan kayu sehingga jatuh pengsan di dalam bilik air.
Selain penderaan fizikal, mangsa turut diseksa secara mental apabila dia dipanggil pelbagai gelaran keji termasuk penghinaan melampau terhadap keluarganya oleh lelaki terbabit yang dikatakan panas baran.
Menurut sumber, kemuncak penderaan terhadap wanita berkenaan berlaku kira-kira jam 10 pagi, Sabtu minggu lalu ketika mangsa dan suaminya berada di rumah mereka di Taman Kosas, Ampang.
“Ketika itu, mangsa di panggil suaminya yang berada di dapur sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba menarik rambut wanita berkenaan tanpa sebarang sebab.
“Selain menarik rambut, suaminya menampar pipi wanita berkenaan walaupun mangsa berulang kali merayu supaya tidak diperlakukan sedemikian,” katanya.
Menurutnya, selepas puas merayu, wanita terbabit dilepaskan, namun ketika dia mahu mengerjakan solat Zuhur, suaminya sekali lagi bertindak kejam dan melampaui batas kemanusiaan apabila menarik mangsa sehingga terjatuh.
“Lelaki itu merampas kain telekung mangsa sebelum dia mengambil ikan yang masih mentah dan meletakkannya di atas kain terbabit.
“Suaminya memaksa mangsa menjamah ikan mentah terbabit, namun wanita berkenaan enggan bernuat demikian. Lelaki itu mula berang sebelum dia mengambil kerusi dan mengugut mencederakan isterinya itu,” katanya.
Katanya, selepas puas menyeksa isterinya, lelaki terbabit keluar dari rumah sebelum pulang semula kira-kira jam 9 malam.
“Ketika itu, wanita terbabit berehat di rumah dan sejurus suaminya pulang lelaki berkenaan tanpa sebarang sebab menendang perut mangsa sehingga wanita terbabit terguling berhampiran katil.
“Tidak cukup dengan itu, suaminya menarik rambut mangsa sehingga tercabut sebelum wanita itu dipukul dengan kayu hingga pengsan ketika berada di dalam bilik air,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa diheret keluar dari bilik air oleh suaminya sebelum lelaki itu menyimbahkan air ke muka untuk menyedarkannya daripada pengsan.
“Sejurus sedar, wanita itu diugut bunuh suaminya, sebelum dia yang takut dengan segala ancaman dan penderaan dilakukan lelaki terbabit membuat laporan polis.
“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang akibat kecederaan dialaminya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, mengesahkan menerima laporan dibuat wanita terbabit.
“Bagaimanapun, mangsa menarik kembali laporan dibuatnya itu dan mahu merujuk kes berkenaan ke mahkamah syariah,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sebulannikahsudahderita/Article
No comments:
Post a Comment