izawan@hmetro.com.my
2010/06/04
KUALA LUMPUR: Akibat tertarik dengan tawaran harga kad prabayar yang terlalu murah berbanding di pasaran, seorang peniaga kehilangan hampir RM100,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan kad prabayar telefon bimbit.
Mangsa, Mohd Zamri Nordin, 38, terjebak dalam pelaburan itu selepas ditawarkan harga RM8.50 bagi sekeping kad prabayar bernilai RM10 berbanding harga di pasaran RM9.70 oleh sebuah syarikat di Bandar Baru Ampang, Ampang, dekat sini.
“Saya diperkenalkan kepada seorang wanita yang menguruskan syarikat itu oleh seorang rakan sekitar Jun tahun lalu. Tawaran yang diberikan cukup menarik, tambahan pula permintaan terhadap kad prabayar memang sentiasa ada.
“Saya kemudian membuat pelaburan sebanyak RM8,100 untuk membeli beberapa keping kad prabayar bernilai RM10 dan kad itu pada mulanya memang dihantar kepada saya, tetapi lama-kelamaan semakin perlahan dan langsung terhenti,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Mohd Zamri tampil selepas Harian Metro, semalam melaporkan wujud kegiatan penipuan sehingga menyebabkan beberapa peniaga yang baru menceburi perniagaan itu mengalami kerugian besar yang dianggarkan keseluruhannya mencecah RM300,000.
Presiden Kebangsaan Pertubuhan Sukarelawan Seni, Kebudayaan, Sosial dan Pendidikan India Malaysia (PSKSP), Dr N Thanasegeran yang mendedahkan kegiatan itu dilaporkan berkata, setakat ini beliau menerima lima aduan daripada peniaga berbeza yang menjadi mangsa.
Mohd Zamri berkata, apabila penghantaran kad itu terhenti tanpa sebarang sebab, dia segera mendapatkan penjelasan pihak syarikat terbabit.
“Sebaik saya sampai, saya lihat keadaan pejabat itu berselerak dan pekerja mendakwa syarikat mereka diganggu pihak tertentu. Seorang wanita yang bertindak selaku pengurus syarikat itu kemudian mendakwa baki wang saya ‘tersangkut’ tetapi dia sedang berusaha mendapatkannya kembali menerusi saluran undang-undang.
“Dia berjanji akan menyelesaikan masalah itu dan masih menawarkan pelaburan itu kepada saya jika masih berminat. Percaya kepada kata-katanya, saya membuat pelaburan tambahan berjumlah RM30,000 yang dibayar secara ansuran,” katanya.
Menurutnya, pemberian kad dijanjikan tiga kali seminggu, tetapi sekali lagi penghantaran tidak dibuat dengan alasan ada pelabur lain membuat aduan kepada pihak syarikat telekomunikasi mengenai tawaran kad prabayar yang dibuat pada harga tidak munasabah.
“Wanita itu kembali berjanji dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dan memujuk saya membuat pelaburan lebih besar. Dua rakan saya yang ditemui menunjukkan minat dan kami masing-masing mengeluarkan wang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM87,000.
“Saya akhirnya tersedar apabila semua janjinya tidak pernah ditunaikan, malah kini saya didesak rakan selepas wang mereka hangus,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Dengkil, pada 29 Januari lalu.
Menurutnya, apa yang mampu dia buatnya adalah merayu wanita berusia 39 tahun itu membayar kembali wang pelaburan dan hanya menerima beberapa ribu ringgit saja sehingga kini.
“Saya memang tidak puas hati cara dia berniaga dan saya sedar ramai yang sudah terkena. Saya syak wang pelaburan saya turut digunakan sebagai modal pusingannya untuk menipu orang lain,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil, pada 29 Januari lalu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM100_000modallesap/Article
No comments:
Post a Comment