Saturday, June 5, 2010

Pengasuh bayi cuai

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/05

KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia tujuh bulan menjadi korban kerusi bayi (walker) kesayangannya apabila meninggal dunia akibat terjatuh daripada kerusi berkenaan ketika berada di rumah pengasuhnya di Pangsapuri Sri Nilam, Bandar Baru Ampang.

Lebih menyedihkan, kejadian itu hanya disedari bapa bayi terbabit, Nasir Rajali, 27 ketika dia menjemput anak tunggalnya itu, Nasrul Hakim Nasir kira-kira jam 6 petang, Rabu lalu sedangkan pemeriksaan doktor mendapati mangsa terjatuh empat jam sebelum itu.


Ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), Nasir berkata, sejurus mendapati anaknya kekejangan, dia bergegas membawanya ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan namun anaknya dipindahkan ke HKL kerana tidak sedarkan diri.


“Pengasuh terbabit menghantar SMS ketika saya di dalam bas sewaktu pulang daripada kerja memberitahu anak saya mengalami kekejangan.


“Namun saya tidak menyangka keadaannya serius hingga saya tiba di rumahnya dan mendapati Nasrul bukan saja kekejangan, malah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,”
katanya sebak.


Nasir berkata, dia terkilan kerana pengasuh terbabit tidak mengambil tindakan pantas dengan menghubungi ambulans atau terus menghubunginya sedangkan pemeriksaan doktor mendapati bayi itu terjatuh lebih awal.


“Saya percaya kejadian ini berlaku akibat kecuaian pengasuh itu, apatah lagi dia enggan bertanggungjawab serta berdolak-dalik ketika meminta penjelasan.


“Selepas dua hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi serta menjalani pembedahan membuang ketulan darah beku di kepalanya, anak saya akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi (semalam),”
katanya yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara.


Sementara itu, isteri Nasir, seorang warga Indonesia dikenali sebagai Seriyanti, 22, yang ditemui seolah-olah bingung dan hanya mengusap jenazah bayinya ketika menunggu untuk dibedah siasat.


“Pada pagi kejadian, Nasrul memeluk dan mencium saya berkali-kali serta makan dengan penuh berselera. Pada petang pula, saya dimaklumkan dia tidak sedarkan diri dan hari ini dia meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan awal mendapati bayi itu dikatakan terjatuh ketika bermain sendirian di rumah pengasuhnya ketika wanita berusia 40 tahun itu sedang masak di dapur.

“Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut tetapi siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya termasuk kemungkinan didera.


“Setakat ini, doktor yang merawatnya mengesahkan bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala disebabkan hentakan kuat kerana terjatuh dan tiada sebarang kesan penderaan ditemui pada tubuhnya, “
katanya yang menunggu laporan bedah siasat dijangka diperoleh hari ini.


Abdul Jalil berkata, pihak hospital sebelum ini membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana mengesyaki ada unsur penderaan terhadap bayi berkenaan tetapi siasatan setakat ini mendapati tiada kaitan unsur jenayah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengasuhbayicuai/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...