Datuk Zaid Ibrahim hari ini terus membidas kepimpinan PKR dengan mencadangkan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presidennya, Azmin Ali supaya berundur.
"Anwar dan Azmin mesti berundur kerana mereka punca segala masalah (dalam PKR)."Saya di sini bukan untuk maki hamun. Semua masalah menunjukkan dengan jelas ia bermula dari diri Anwar sendiri," kata Zahid (atas, kanan).
Apabila diminta wartawan mengulas lanjut kenyataannya, Zaid berkata Azmin perlu menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR yang sedang berlangsung manakala Anwar pula harus berundur dari kepimpinan parti.
"Saya berpendapat Anwar mempunyai banyak sangat isu peribadi dan Azmin juga mempunyai banyak isu. (Azmin) perlu banyak lagi belajar.
"Saya fikir Azmin hendaklah dilucutkan kelayakannya (bertanding timbalan presiden PKR) kerana anda tidak boleh, kalau di cabang itu yang tidak memihak kepadanya, maka disuruh cabang itu bermesyuarat semula. Orang yang menyalah gunakan kuasa mestilah dilucutkan kelayakan," kata Zahid.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, perubahan kepimpinan parti perlu dilakukan jika PKR mahu kekal relevan dalam politiknegara."Apa yang terjadi pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini adalah daripada kelemahan Anwar sendiri. Beliau hendaklah menerima ini kerana ini bukanlah masanya untuk menafikan. Jika anda mahukan perubahan untuk negara, anda hendaklah ikhlas. Saya mohon maaf kerana cakap ini tetapi inilah masalahnya yang saya hendak luahkan.
"Pada hakikatnya kita tidak dapat menganjurkan satu pemilihan parti yang baik dan menunjukkan bahawa kita lemah. Kita gagal dan saya mahu mengubah ini kerana saya fikir rakyat dan parti berhak mempunyai yang lebih baik," katanya.
Zaid yang juga bekas calon timbalan presiden PKR berkata sepatutnya parti tidak boleh ada pemimpin yang lemah dan selalu menyalahkan orang lain.
Pada sidang media yang sesak dengan wartawan dan juga penyokongnya di rumahnya di Petaling Jaya, titik permulaan adalah selepas pilihan raya umum 2008.
"Saya fikir ia bermula selepas 3/08. Selepas kemenangan besar, ramai yang mula memasang angan-angan, mereka mulai hilang fokus,” kata Zaid.
Menurutnya PKR perlu menyingkirkan kepimpinannya yang ada sekarang dalam usaha bergerak ke depan semula selepas menghadapi krisis sepanjang tahun lalu, khususnya dengan beberapa ahli parlimen dan ADUNnya meninggalkan parti itu.
"Perlu ada fokus baru, kepimpinan baru. Anwar sebagai ketua umum telah gagal memastikan parti itu bersatu.
"Seperti sekarang, beliau juga gagal memimpin pembangkang ke depan dengan polisi baru; seperti mana dia gagal pada 16 September; seperti mana dia gagal mengekalkan keutuhan (gabungan Pakatan Rakyat) di Perak dengan membiarkan MP PKR berpaling tadah; seperti mana pembangkang dimalukan dan menjadi tidak keruan di Batu Sapi.
"Perlu diiktiraf bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berkembang dengan Anwar sebagai terajunya."16 Sept (hasrat PKR ambil alih kerajaan) telah gagal, kita salahkan BN, kita tewas di Perak, kita juga salahkan BN, anggota Parlimen kita lompat parti, kita salahkan BN, sudah tiba masanya kita mesti katakan kita lemah," kata Zaid.
Ditanya siapa yang sepatutnya menjadi ketua PKR yang baru, Zaid dalam nada gurau berkata: "Saya fikir saya boleh. Tetapi terpulang kepada rakyat menentukannya.”Bagi memastikan kelangsungan PKR, beliau berkata parti memerlukan pucuk pimpinan yang baru, kekuatan dan fokus yang baru sekurang-kurang mereka yang sanggup menerima kelemahan parti.
"Bukan saya tidak menghargai sumbangan Anwar tapi zaman dah berubah.
"Saya juga nak lihat parti kuat, supaya kerajaan akan lebih bertanggungjawab, telus inilah politik saya. Saya bukan buat ini untuk menunjuk-nunjuk," katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan kenyataan Anwar bahawa tindakannya melepaskan semua jawatan termasuk menarik diri daripada bertanding bukanlah disebabkan beliau tidak menerima undi yang banyak di Sabah.
"Tak betul saya bangkitkan perkara ketidaktelusan ini selepas saya kalah undi di Sabah. Perkara ini telah saya bangkitkan lama dulu. Bagaimanapun ini bukan agenda peribadi saya" katanya.
Beliau menegaskan bahawa meskipun telah melepaskan semua jawatan, beliau tidak akan keluar daripada PKR.
"Jika semua anggota parti tidak menerima apa yang disuarakannya hari ini, saya akan fikirkan pilihan yang lain," katanya.
[Baca berita penuh]
http://malaysiakini.com/news/147667
No comments:
Post a Comment