Wednesday, November 10, 2010

SU: Zaid mungkin punca tak ramai mengundi

Salhan K Ahmad
Nov 9, 10
5:41pm

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata peratusan keluar mengundi yang rendah bagi pemilihan pucuk pimpinan PKR mungkin berpunca daripada kenyataan dan tulisan oleh calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

"Saya fikir itu juga sebab kenapa undinya berkurangan. Saya rasa penilaian tentang dia telah dibuat oleh anggota parti," katanya dalam sidang akhbar di ibupejabat parti itu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membandingkan peratusan keluar mengundi yang rendah bagi pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PKR, berbanding dengan pemilihan di peringkat cabang.

Katanya, jawatankuasa pemilihan tidak boleh dijadikan kambing hitam atas keadaan itu, mahupun ke atas jumlah undi yang rendah diperolehi Zaid.

"Hakikatnya, daripada 87 cabang, Zaid telah menang di sebanyak 38 cabang. Itu jumlah yang tinggi.

Saifuddin berkata, jumlah itu mengatasi jumlah cabang yang menyokong dua lagi pencabarnya - Azmin Ali (37) mahupun Mustaffa Kamil Ayub (11).

Keputusan di satu lagi cabang - Kubang Pasu - merekodkan jumlah sokongan yang seri bagi Zaid dan Azmin (kanan).

"Tapi Azmin masih menang sebab mobilisasi jentera Azmin lebih daripada calon lain.

"Kalau ada manipulasi, mustahil Datuk Zaid menang di 38 cabang," katanya.

Ketika ditanya, beliau juga berkata seramai 11,670 anggota telah mengundi di 87 cabang yang telah menjalankan pemilihan bagi pucuk pimpinan tertinggi PKR setakat ini.

Beliau sebelum itu diminta mengulas dakwaan Zaid (kiri) pagi ini bahawa hanya lebih 6,000 orang sahaja yang telah keluar mengundi.

"Mungkin dia dapat maklumat salah daripada jentera dia.

"Saya rasa inilah masalah dia, masalah matematik," katanya.

Saifuddin juga berkata, jawatankuasa pemilihan pusat akan bermesyuarat secepat mungkin untuk menentukan sama ada akan menerima kenyataan Zaid di blog sebagai dokumen rasmi untuk menarik diri daripada pemilihan yang sedang berlangsung.

"Hakikatnya Datuk Zaid sudah terima pencalonan yang kini masuk separuh masa pemilihan," katanya.

Tegasnya, parti itu setakat ini belum menerima sebarang notis rasmi daripada Zaid berhubung penarikan diri daripada pemilihan yang sedang berlangsung.

Jelasnya, keputusan mengenai status Zaid dalam pemilihan ini perlu dibuat sebelum kertas undi dicetak menjelang hujung minggu ini.

PKR juga setakat ini masih belum menerima notis daripada Mustaffa untuk menggantung pemilihan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...