Wednesday, November 10, 2010

Pembeli Sri Hijauan pohon kerajaan Selangor bantu

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Para pembeli apartmen Sri Hijauan di Ukay Perdana memohon kerajaan negeri Selangor campur tangan bagi membolehkan rumah yang mereka beli sejak tujuh tahun lalu boleh diduduki.

Ini kerana, mereka kini bukan sahaja tidak dapat menduduki rumah itu bahkan juga terpaksa membayar berganda, sewa rumah yang diduduki di samping terpaksa membayar pinjaman rumah untuk apartmen ini.

(Gambar: Apartment Sri Hijauan di Ukay Perdana...selepas tujuh tahun, namun masih belum boleh dimasuki)

Seorang pembeli yang ditemui di kawasan perumahan itu semalam berkata, beliau bukan sahaja menghadapi masalah kewangan ekoran terpaksa membayar pinjaman sejak setahun lalu bahkan juga malu dengan mertua beliau.

"Bayangkan, sejak tujuh tahun lalu saya terpaksa duduk dengan mertua dengan anggapan selepas tiga tahun akan masuk rumah sendiri. Sedangkan selepas tujuh tahun, rumah ini masih belum siap lagi," kata salah seorang pembeli apartmen itu.

Apartment Sri Hijauan di Ukay Perdana mula dijual kepada orang ramai pada tahun 2003 oleh Talam Coorporation.

Selepas tiga tahun, sebagaimana dalam perjanjian dengan bank, para pembeli terpaksa membuat bayaran penuh kepada pihak bank walaupun rumah masih belum siap lagi.

Mereka kini berkumpul dalam satu facebook, Apartment Sri Hijauan, Ukay Perdana, bagi sama-sama berbincang nasib mereka.

Sehingga kini, 52 pembeli dari kira-kira 300 pembeli apartmen ini menyertai laman komuniti facobook ini.

(Gambar: Kolam renang juga sudah siap tetapi....)

Salah seorang dari mereka, yang menggunakan nama samaran Nur'Adilah Bain telah menyiarkan di situ surat yang beliau hantar kepada Adun Hulu Kelang, Saari Sungib bagi mengadu nasib beliau itu.

Katanya, telah bermacam-macam cara kami para pembeli pangsapuri Sri Hijauan mencuba untuk menuntut hak kami sebagai pembeli tetapi masih gagal seperti:

1) Followup dengan project manager setiap minggu
2) Followup dengan MPAJ setiap minggu
3) Mengadu kepada KPKT
4) Berjumpa dengan pihak pemaju di pejabatnya
5) Mengadu kepada YB untuk bantuan
6) Followup dengan pihak approving authority yg lain seperti Bomba, TNB & Indah Water.

Saari (gambar kanan) ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu, pihaknya sedang berusaha membantu para pembeli apartment ini.

"Saya sudah cuba hubungi pemaju tetapi mereka memberikan pelbagai alasan. Sekarang saya telah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) agar memanggil mesyuarat segera mengenai hal ini," kata Saari kepada Harakahdaily.

Masalah pembeli ini juga diajukan kepada Exco perumahan kerajaan negeri Selangor, Iskandar Samad.

Ketika dihubungi, Iskandar (gambar kiri) berkata, pihaknya akan menyiasat segera isu ini dan akan membantu seboleh mungkin.

"Kena check dulu apa masalah yang membuat isu ini sangkut. Kecil atau besar, senang atau susah diselesaikan. Kalau setakat inspection IWK, takpe juga. Kalau tak buat STP yang kosnya RM10 juta, akan ambil masa.

"Saya perlu pastikan dulu sebelum memberikan harapan palsu kepada pembeli," kata Iskandar dalam satu smsnya kepada Harakahdaily.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29366:-pembeli-sri-hijauan-pohon-kerajaan-selangor-bantu&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...