Wednesday, November 10, 2010

Pembeli Sri Hijauan terjah rumah mereka 28 Nov

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Para pembeli Apartment Sri Hijauan, Ukay Perdana, projek perumahan yang terbengkalai sejak sekian lama bercadang untuk menyerbu masuk kawasan perumahan itu 28 November ini.

Langkah ini diambil berikutan ketidak sabaran mereka menunggu projek itu yang tidak siap-siap walaupun mereka telah membelinya sejak tujuh tahun lalu.

"Disebabkan isu projek yang memakan masa lebih 7 tahun, masalah CF yang berlarutan, sikap lepas tangan dan karenah pemaju, pembeli Apartment Sri Hijauan menghadapi bukan sahaja masalah kewangan malah psikologi.

"Para penghuni membuat keputusan untuk masuk dan mendiami rumah mereka walaupun tiada CF pada 28 November 2010 ini.

"Diharapkan ramai penghuni yang akan menyokong pada hari tersebut," tulis admintrator laman facebook Apartment Sri Hijauan, Ukay Perdana.

Ekoran posting itu, sokongan datang bertalu-talu dari peserta kumpulan itu di facebook apartment itu.

Mereka bercadang untuk membawa baldi, penyapu dan sabun bagi membersihkan unit rumah mereka walaupun ia belum diluluskan permit menduduki (CF).

"Projek berkelah di Apartment Sri Hijauan Ukay Perdana 28 November jam 10 pagi...bawa baldi, berus, sabun...bersih rumah kita...bawa makanan secara pot lak sekali...kita berkelah kat sana," kata salah satu posting dalam facebook yang menyatukan pembeli apartment ini.

Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan permintaan dari pembeli apartmen ini agar kerajaan negeri Selangor campur tangan dan membantu mereka menyelesaikan masalah yang menimpa projek itu.

Apartment Sri Hijauan adalah projek di bawah Talam Coorporation, sebuah syarikat pemaju yang menghadapi masalah.

Kebanyakan pembeli telah membeli unit rumah di bangunan ini pada tahun 2003. Ini bermakna, ia sudah tujuh tahun berlaku sedangkan mengikut perjanjian jualbelinya, bangunan ini akan siap selepas tiga tahun perjanjian jual beli itu ditandatangani.

Kebanyakan pembeli sudah terpaksa membuat bayaran kepada bank sejak beberapa tahun lalu dan ini bermakna mereka terpaksa membayar di dua tempat iaitu rumah yang mereka tinggal sekarang dan rumah yang mereka beli ini.

Exco perumahan kerajaan negeri Selangor, Iskandar Samad sebelum ini telah berjanji akan melihat projek ini dan berusaha membantu pembeli.

Baru-baru ini, beliau dan timbalan Exco yang kebetulan Adun Hulu Klang, tempat projek ini terletak, Saari Sungib telah berjaya menyelesaikan satu projek terbengkalai di Pucong.(Gambar)

110 pembeli rumah teres satu tingkat, projek terbengkalai Saujana Putra Fasa 5B, telah mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan atau CF dari Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Satu majlis penyerahan kunci telah disempurnakan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad, pada 2 November lepas. Majlis telah turut dihadiri oleh Pembantu Exco, Saari Sungib.

"Sekarang sedang sibuk dengan sidang Dun hingga 16 November. Lepas itu Raya Haji. Minggu selepas itu, kami nak usaha dapatkan CF beberapa projek terbengkalai di Pucong dan Sepang. Jadi, Disember ini baru kita akan lihat secara serius projek ini," kata Iskandar kepada Harakadaily.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) ketika dihubungi menjelaskan, projek ini menghadapi masalah dengan pihaknya kerana pembentungan projek ini disambungkan ke pusat kumbahan sementara yang sudah hampir melimpah.

Oleh itu, sebelum diberikan sokongan untuk mendapat permit menduduki (CF), IWK meminta pembentungan projek ini disambungkan ke pusat kumbahan kekal Ukay Perdana yang telah diluluskan oleh Span Oktober lalu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29403:pembeli-sri-hijauan-terjah-rumah-mereka-28-nov&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...