BANDAR TENGGARA: Seorang lelaki yang dipercayai menikam mentuanya dengan pisau hingga menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Bendahara 3 di sini, kelmarin, ditahan polis beberapa jam selepas kejadian.
Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di kediaman keluarganya di Kampung Lubuk, Pengkalan Batu, Mersing sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, lelaki terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.
“Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Menurutnya, penahanan suspek utama itu hasil laporan polis dibuat mangsa sebelum meninggal dunia.
“Armen Suardi, 53, pemegang taraf pemastautin tetap hadir ke Balai Polis Bandar Tenggara membuat laporan mendakwa dia diserang menantunya.
“Mangsa yang cedera di kepala dan dada mendakwa diserang menggunakan pisau dan kami meminta bantuan rakan sejawat di IPD Mersing mengesan suspek,” katanya.
Katanya, motif pembunuhan mungkin akibat salah faham dan setakat ini, hanya satu tangkapan dibuat manakala siasatan mendapati suspek bekerja sambilan membantu mangsa menjual selipar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi IPD Kota Tinggi atau balai polis.
Difahamkan, polis juga mengambil kenyataan daripada isteri suspek iaitu anak perempuan mangsa untuk membantu siasatan.
Jiran mangsa, Abd Razak Soma, 45, berkata, Armen seorang yang peramah, periang dan tidak pernah ada masalah dengan masyarakat setempat.
Menurutnya, suspek tinggal di rumah mangsa sejak berkahwin dengan anak perempuannya.
“Sejak suspek mengahwini anak perempuannya, suasana di rumah itu agak tegang dan sering kedengaran jeritan dan suara orang bertengkar.
“Jiran tidak mahu masuk campur dan menganggapnya masalah peribadi, tetapi kami terkejut apabila mendapat tahu ia berakhir dengan pembunuhan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suspek_mentuaseringbertengkar/Article/index_html
No comments:
Post a Comment