Friday, December 10, 2010

16 saksi untuk bicara kes Dr Ling

KUALA LUMPUR: Kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik (gambar), yang didakwa atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002 ditetapkan untuk perbicaraan pada 3 Mei tahun depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi selepas kes berkenaan yang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Putrajaya disebut di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam. Sekurang-kurangnya antara 15 hingga 16 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu nanti. Dr Ling, 67, didakwa atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan menipu Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ (dahulu dikenali sebagai Mega Distribution Hub) di Pelabuhan Klang.


Bagi kedua-dua tuduhan, bekas menteri itu didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Bagi pertuduhan utama, beliau didakwa menipu berhubung pembelian tanah berdasarkan terma yang dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang antara lainnya adalah:

  • Luas tanah 999.5 ekar (404.5 hektar) (43,538,200 kaki persegi);
  • Kadar pembelian tanah sebanyak RM25 satu kaki persegi (skp) menjadikan jumlah pembelian bernilai RM1,088,456,000 dan;
  • Tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah ‘deferred payment’ (bayaran tertangguh) selama 15 tahun dengan kadar faedah 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600).

    Bekas menteri itu didakwa secara curang menyembunyikan fakta ke atas tanah itu iaitu kadar RM25 skp bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 skp bagi tempoh bayaran balik 15 tahun adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh itu.

    Penyembunyian fakta itu mendorong Jemaah Menteri bersetuju terhadap pembelian tanah itu sedangkan beliau mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan kerajaan menanggung kerugian. Bagi tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.


    Dr Ling turut didakwa atas tuduhan pilihan menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta serupa pada waktu dan tempat yang sama.


    Bagi tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 417 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu pada prosiding semalam, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling memohon mahkamah menetapkan tarikh bicara pada Mei bagi memberinya peluang meneliti segala dokumen yang akan diserahkan oleh pihak pendakwaan. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengetuai pihak pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan dokumen berkaitan bulan depan, membabitkan lebih 200 dokumen. Dr Ling hadir ke mahkamah ditemani isterinya Toh Puan Ena Ling dilepaskan dengan jaminan bon peribadi RM1juta.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/16saksiuntukbicarakesDrLing/Article/index_html

  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...