Friday, December 10, 2010

Balik dulu

ENDAU: “Dua hari selepas meninggalkan rumah, dia ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf dan memberitahu akan pulang pada suatu hari nanti dan katanya dia ingin kahwin.

“Puas saya menelefonnya tetapi gagal. Saya sangat sayang pada Nur Farah Hanum (Abdul Aziz),” kata Fatimah Rasid, 55, ibu remaja berusia 16 tahun yang menghilangkan diri sejak 24 November lalu, dipercayai mengikut lelaki Lombok, Indonesia.


Menurut Fatimah, anak bongsu daripada lapan beradik yang tinggal bersama kakaknya di Kuala Lumpur itu pulang ke kampung baru-baru ini tetapi tidak banyak bercakap, sebelum meninggalkan rumah kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Katanya, Nur Farah yang lebih mesra dipanggil Hanum, dipercayai mengikut teman lelakinya seorang warga Indonesia berasal dari Lombok yang dikenali sebagai Adam, 27.


“Anak saya berkulit hitam manis, berambut panjang sehingga ke paras siku dan mempunyai tahi lalat di bawah bibir kiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kilometer 2, Jalan Endau–Mersing di sini, baru-baru ini.


Berikutan bimbangkan keselamatan Hanum, Fatimah membuat laporan di Balai Polis Endau pada keesokan harinya.

Fatimah berkata, jika benar Hanum ingin berkahwin, dia merestuinya tetapi berharap anaknya itu pulang untuk berbincang secara baik dengan keluarga.


“Emak sangat sayangkan Hanum dan tidak akan memarahi jika Hanum balik ke rumah. Jika Hanum mahu kahwin emak akan berbincang dengan adik-beradik yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Fatimah merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya supaya menghubunginya di talian 017-7598148 atau Balai polis Endau 07-7931222.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Balikdulu/Article/index_html


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...