Friday, December 10, 2010

Penagih paling ramai di Terengganu

Dr. Syed Azman Syed Ahmad

Amat memilukan…apabila seorang bapa yang berasal dari Hulu Terengganu sanggup bertindak menyimbah isteri, anak serta ibu mertuanya dengan asid. Suspek yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun isterinya enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid. Ujian air kecing yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah amphetamine dan morfin.

Lebih malang lagi salah seorang anaknya Nurul Dahyatul Fazlina Khalid yang baru berusia 8 tahun cedera teruk di seluruh muka dan badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Kini adik Nurul berhadapan dengan kecatatan muka dan badan yang kekal buat selama-lamanya dalam hidup beliau angkara perbuatan bapanya sendiri.

Namun disebalik peristiwa yang menyanyatkan hati ini, lebih malang lagi bagi ‘negeri cantik budaya menarik ini’ kini berhadapan dengan gejala kerosakan akhlaq dan jenayah yang amat menggerunkan semua pihak. Kes rompak, curi, bunuh, peras ugut dan buang bayi yang jarang-jarang kedengaran berlaku di negeri ini lima atau sepuluh tahun yang lampau kini lebih kerap berlaku. Ini ditambah lagi dengan gejala ribuan remaja Melayu Terengganu yang terjebak dengan penagihan dadah dan HIV.

Saya terpanggil menyebut gejala dadah ini apabila Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Terengganu Supt. Roslan Abd Wahid pada sidang media di pejabatnya baru-baru ini telah mendedahkan bahawa negeri Terengganu telah mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun 2009. Malah menurut beliau berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih dadah ialah seorang daripada 100 penduduk.

Beliau menambah lagi; “Hasil mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara yang diadakan di Bukit Aman awal bulan ini mendapati Terengganu mencatatkan angka penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 10,000 tangkapan dilakukan tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang... dan angka itu menunjukkan masalah penagihan dadah di negeri ini dalam keadaan yang amat serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa dan rakyat di negeri ini,”

Katanya, rekod tangkapan pelbagai kesalahan dadah di negeri ini bagi tahun ini dari Januari hingga semalam ialah 3,791 orang, meningkat sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Malah, katanya jumlah tangkapan pengedar dan pembekal dadah pada tahun ini juga meningkat 11 peratus dengan 97 tangkapan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata lagi bahawa analisis dan kajian yang dijalankan oleh polis mendapati kebanyakan penagih dadah di negeri ini terdiri daripada mereka yang berumur lewat 20-an hingga 40-an dan mereka merupakan penagih tegar yang sukar untuk dipulihkan walaupun pelbagai program pemulihan telah dilakukan. Mereka juga menjadikan kawasan di luar bandar terutama di kawasan Felda sebagai pusat penagihan dan pengedaran dadah baru termasuk di kawasan segitiga emas iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.”

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan fenomena akhir-akhir ini dimana pihak polis mendapati semakin banyak heroin bermutu tinggi dibawa masuk ke negeri ini dari negara jiran berikutan permintaan yang tinggi. Katanya lagi; “kebanyakan heroin yang masuk ke negeri ini adalah heroin no 4 yang lebih bermutu tinggi berbanding negeri pantai barat yang lebih banyak menggunakan dadah sintetik dan heroin no 3 ”.

Namun persoalannya siapakah yang harus kita persalahkan dalam hal ini? Apakah kita hendak menyalahkan anak-anak remaja semata-mata? Atau kita mahu menyalahkan ibu-bapa semata-mata? Bagaimana pula peranan kepimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said yang boleh berbelanja mewah lebih dari RM2.2 billion setahun untuk ’pembangunan’ negeri Terengganu? Ya, stadium boleh dibina, jalanraya boleh dibina, jambatan boleh di bina, malahan bangunan pencakar lagit boleh di bina di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Tetapi persoalannya untuk apa ini semua kepada rakyat Terengganu? Apakah rakyat Terengganu terlalu dahagakan ’pembangunan’ sehinggakan ’pembangunan insan’ terabai teruk tanpa siapa yang mahu mengambil tahu!

Bayangkanlah, negeri berbudaya menarik ini kini berhadapan dengan kadar penagihan dadah yang tertinggi di Malaysia dan mengatasi kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang.. Lebih malang lagi kebanyakan penagih dadah di negeri penyu bertelur ini terdiri daripada mereka yang berumur lewat 20-an hingga 40-an dan mereka ini merupakakan penagih tegar yang sukar untuk dipulihkan lagi.

Persoalannya apakah corak dan masadepan generasi baru Terengganu kite ini? Apakah gambaran generasi remaja Terengganu yang bakal menjadi pemimpin di masa yang mendatang ini? Apakah cukup dengan peruntukan puluhan juta untuk program remaja melalui budaya ’subsidi’ dan ’wang ehsan’ yang di salurkan kepada remaja seluruh Terengganu yang bermotifkan kepentingan ’politik sempit’ setiap kali datangnya musim perayaan? Apakah dengan menawarkan duit seratus, dua ratus ringgit yang di tabur kepada remaja ini boleh menyelesaikan gejala dan kemelut yang mereka sedang hadapi?

Malang, malang sungguh nasib rakyat Terengganu kite ini. Gula-gula wang ringgit dan kebendaan terus ditaburkan bagi menarik sokongan tanpa mengira kesan buruk yang berlaku. Dek kerana pitis (wang), kini maruah kebanyakan rakyat Terengganu tergadai...

-----------------------------------------------------------------
Penulis boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29761:penagih-paling-ramai-di-terengganu&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...