Friday, December 10, 2010

Rakyat perlu muhasabah diri




JOHOR BAHRU - Rakyat pada hari ini kebanyakannya tidak memahami konsep Ketuanan Melayu, malah menyalahtafsirkan maksudnya yang sebenar.

Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar membangkitkan isu itu apabila baginda tuanku melihat rakyat ketika ini semakin lupa serta mengetepikan perkara tersebut.

“Ketuanan Melayu, atau lebih sesuai disebut sebagai Kedaulatan Melayu, mencakupi kedudukan Raja-Raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini di mana kedudukan raja sebagai puncak kerajaan di negeri Melayu.

“Sistem Diraja dan kerajaan Melayu telah wujud ratusan tahun lamanya dan sistem ini tidak pernah putus, malah kekal hingga hari ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda tuanku, ketika berangkat merasmikan majlis Multaqa’ Ulama’ Darul Takzim di sini, semalam.

Baginda tuanku bertitah, konsep kedaulatan Melayu merujuk kepada Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan hak-hak lain yang berkaitan.

Menurut baginda tuanku, apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.

Ini kerana awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini, iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyat, titah baginda tuanku.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu.

”Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda tuanku.

Sultan Ibrahim bertitah membangkitkan soal mengenai ketuanan Melayu memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalahtafsir maksudnya yang sebenar.

Baginda tuanku juga mengambil kesempatan mengingatkan rakyat agar bermuhasabah diri berkenaan isu tersebut agar ketuanan dan kedaulatan Melayu akan terus terpelihara.

“Berdasarkan perkembangan semasa, suka beta ingatkan kepada rakyat supaya kembali bermuhasabah diri dan kembali ke pangkal jalan.

“Orang Melayu sendiri mahu menolak kedaulatan Melayu dan dalam hal ini, ulama memainkan peranan untuk menjelaskan kepada masyarakat serta mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu," titah baginda tuanku.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8500153.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...