KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bengang selepas ditegur isterinya kerana sering pulang lewat mengamuk dan memijak kepala wanita itu di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini 1 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 20-an dan bekerja sebagai kerani sedang menonton televisyen bersama anak perempuannya.
Menurut sumber polis, sebaik suaminya pulang, mangsa terus menegur lelaki itu.
“Bagaimanapun, si suami yang tidak tahan mendengar leteran isterinya itu terus naik angin dan memarahi wanita berkenaan sebelum mereka bertengkar.
“Keadaan mula menjadi tidak terkawal apabila si suami tiba-tiba mengamuk sebelum bertindak membelasah isterinya tanpa belas kasihan,” katanya.
Katanya, tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit bertindak kejam apabila menolak dan memijak kepala isterinya.
“Si suami kemudian keluar rumah meninggalkan isterinya yang ketika itu sedang merintih kesakitan.
“Mangsa yang cedera di seluruh badan kemudian ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sumber berkata, wanita terbabit juga mengesyaki suaminya itu bertindak agresif kerana dipengaruhi dadah.
“Mangsa dikatakan tidak tahan dengan perangai suaminya itu yang sejak kebelakangan ini berperangai pelik kerana suka bergaul dengan rakan terdiri daripada penagih dadah,” katanya.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis pada 2 Disember lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat wanita berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijakkepalaisteritegurbaliklambat/Article/index_html
No comments:
Post a Comment