Friday, December 10, 2010

Kemaruk pil kuda

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri yang mempunyai empat cucu mengaku menjadi ‘hamba’ pil kuda selepas ditahan dalam operasi di sekitar Kuala Terengganu dan Marang, awal pagi kelmarin.

Lebih mengecewakan, ketagihan pasangan itu berpunca daripada pengaruh si isteri berusia 44 tahun yang mengaku mengambil pil kuda sejak berumur belasan tahun dan menyebabkan suami berusia 37 tahun turut terpengaruh mengambil pil berkenaan.


Malah, dia juga menghabiskan wang gaji suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk mendapatkan bahan terlarang itu tanpa mempedulikan sama ada barangan keperluan harian lain cukup atau tidak.

Ketika ditemui, wanita itu mengakui sering ditahan polis, tetapi belum bersedia meninggalkan tabiat buruknya buat masa ini.


“Saya hanya boleh mendapatkan bekalan pil kuda apabila suami mendapat gaji bulanan, ketika itulah baru boleh ‘enjoy’ kerana sekarang tidak macam dulu, duit sentiasa ada,” katanya yang tidak bekerja.


Dalam operasi sama, polis turut menahan sepasang suami isteri berusia 25 dan 21 tahun yang mempunyai dua anak berusia 3 tahun dan sembilan bulan.

Ketua Jabatan Narkotik Daerah, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, pasangan berkenaan ditahan selepas didapati positif pil kuda dan mengaku mengambilnya kononnya untuk kelihatan lebih cergas.


“Malah, ketika ditahan, mereka mengaku kali terakhir mengambil pil berkenaan kira-kira lima hari lalu dan keluarga si suami sedar anak lelaki mereka penagih, tetapi tidak tahu isterinya juga begitu. “Penahanan dibuat sempena Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan jam 12 tengah malam dan berakhir 12 tengah hari kelmarin,” katanya.

Katanya, daripada 210 orang ditahan, 154 didapati positif dadah termasuk dua pelajar sekolah dengan seorang daripadanya sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kemarukpilkuda/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...