Tuesday, December 28, 2010

Dapat semula wang selepas berat badan bertambah

PUTRAJAYA: “Saya amat lega kerana dapat kembali duit dan lebih penting kes ini cepat diselesaikan dan tidak mengganggu tugasan saya sebagai pembantu undang-undang,” kata Sarijah Saman, 45.

Sarijah mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, selepas mendapati program pelansingan yang dijalaninya di sebuah pusat kecantikan di Kajang, Selangor pada 14 Disember tahun lalu tidak menunjukkan penurunan yang dijanjikan iaitu antara 10 hingga 15 kilogram (kg) dalam tempoh empat bulan.


Sebaliknya, berat badan Sarijah hanya turun tiga kg sebelum naik kembali kepada berat badan asalnya, dan lebih menyedihkan dia turut mengalami tekanan darah tinggi selepas menjalani program berkenaan.

Katanya, ketika memulakan program itu berat badannya adalah 71.5 kg, dan turun dua kilogram kepada 69.6 kg selepas empat sesi menjalani rawatan.


Namun, selepas memberhentikan seketika sesi rawatan kerana bercuti, berat badannya naik semula dua kilogram dan tidak turun walaupun sudah menjalani program itu hampir 80 sesi, menyebabkan dia mula hilang keyakinan dan terasa tertipu dengan program berkenaan.


“Saya membayar RM3,688 untuk 84 sesi, tetapi selepas menjalani beberapa sesi saya diminta membayar RM376 sebagai bayaran produk minuman yang kononnya untuk mempercepatkan proses pelansingan.

“Sedangkan, pada awal sesi perundingan, perunding kecantikan di pusat berkenaan memaklumkan saya tidak perlu membuat pembayaran lain kerana pakej yang dibayar sudah lengkap.


“Saya tidak berpuas hati kerana berat badan saya tidak turun seperti dijanjikan, malah saya turut mengalami tekanan darah tinggi selepas mengikuti program berkenaan, dan saya rasa tertipu dengan program itu sebelum mengemukakan tuntutan kepada TTPM,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pendengaran di TTPM di sini, semalam.

Sarijah berjaya dalam tuntutannya apabila Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh mengarahkan pusat menguruskan badan yang beribu pejabat di Hulu Langat, Selangor membayar balik tuntutan berkenaan dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan semalam.


Mohd Nasrim ketika membuat keputusan mengatakan, tanpa mengakui apa-apa liabiliti dan tanggungan, penentang bersetuju untuk membayar balik kepada pihak yang menuntut (PYM) sebanyak RM4,060 dalam tempoh berkenaan.


Jika gagal berbuat demikian, tindakan lanjut boleh diambil terhadap syarikat terbabit.


Ibu tunggal itu berkata, pengguna yang ingin mengikuti mana-mana program pelansingan daripada pusat kecantikan perlu memastikan mereka mendapatkan pengesahan daripada pusat berkenaan sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.


“Apa-apa pun yang kita nak buat, mesti pastikan ada dokumen lengkap,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dapatsemulawangselepasberatbadanbertambah/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...