RAUB: Seramai 39 penumpang bas dua tingkat Mahligai Ekspres yang dalam perjalanan ke Klang dari Kota Bharu, Kelantan, menempuh detik cemas apabila bas itu terbabas dan terbalik, di Kilometer 363, Jalan Raub-Bentong, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, dua penumpang, Wan Roshani Yacoob, 32, serta Muhamad Yusri Abdul Latif, 34, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raub (HR) untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Shamsuddin Wan Osman, berkata bagaimanapun, Wan Roshani terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan akibat kecederaan di perut.
Menurutnya, Muhamad Yusri dikatakan masih menerima rawatan lanjut di HR akibat kecederaan di kepala dan patah tulang rusuk manakala baki penumpang bas berkenaan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Katanya, siasatan awal mendapati, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kerana ia berlaku di permukaan jalan yang lurus manakala keadaan cuaca ketika itu baik.
Wan Samsuddin berkata, siasatan turut mendapati bas berkenaan baru sebulan beroperasi.
“Ujian air kencing turut dilakukan ke atas pemandu berusia 46 tahun itu dan keputusannya didapati negatif namun siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama, tiga penumpang bas ekspres sebelum itu ditahan dalam sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Benta, Lipis, kira-kira jam 4 pagi.
Katanya, tiga penumpang terbabit didapati positif dadah.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaparahbasekspresterbalik/Article/index_html
No comments:
Post a Comment