Tuesday, December 28, 2010

Syiah serah memo, tuntut maaf terbuka

Syiah serah memo, tuntut maaf terbuka
Fadzly Esa
Dis 27, 10
3:32pm

Sekumpulan pengikut Syiah hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka.

Kumpulan 30 orang itu mendakwa serbuan terhadap pusat mereka di Gombak pada 15 Disember lalu bercanggah dengan pelbagai peruntukan, antaranya Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Perlembagaan Persekutuan.

NONE"Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bait (Syiah) di Malaysia memohon perlindungan hak daripada Suhakam berpaksikan Perlembagaan Malaysia agar hak minoriti kami sebagai rakyat Malaysia dilindungi pihak-pihak berwajib," kata jurucakapnya Kamil Zuhairi Ab Aziz.

"Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang beragama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme atau lain-lain agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang kami, iaitu Mazhab Ahlul Bait atau Syiah Imamiah yang dianuti lebih 200 hingga 500 juta umat Islam seluruh dunia."

Sebahagian daripada kumpulan itu antara 128 orang yang ditahan dua mingg lalu di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Dua daripada mereka telah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kuang bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

NONEKali pertama tampil mengadakan sidang media di ibu pejabat baru Suhakam di Kuala Lumpur, Kamil menjelaskan, ketika serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tiada usaha penyebaran fahaman, sebaliknya hanya majlis tahlil untuk arwah cucu Nabi Muhammad.

Mengakui mempunya jati diri yang khusus, Kamil menolak generalisasi yang menyamakan fahaman mereka - Syiah Imamiah - di negara ini dengan kumpulan yang sama di negara lain.

"(Kami) tidak akan menumpahkan darah, tidak akan bersubahat, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan militan, keganasan dan persenjataan yang dapat meletakkan negara tercinta dalam kedudukan bahaya," katanya sambil menegaskan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung elemen itu.

Sehubungan itu, mereka menuntut pihak yang terlibat dalam tangkapan mereka, terutamanya JAIS, pengarahnya Datuk Khusrin Munawi dan penguatkuasa jabatan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana "mengakibatkan fitnah dan kekeliruan terhadap mereka".

Tuntutan itu turut dibuat kepada pihak media dan penceramah popular Datuk Dr Hassan Din yang dilaporkan berkata, perkahwinan dengan pengikut Syiah boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf.

Mengulas 'kekeliruan' terhadap fahaman mereka, Kamil menjelaskan perkara itu berlaku ekoran tiada dialog dan kajian yang tersusun daripada sarjana berhubung fahaman itu.

http://malaysiakini.com/news/151753

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...