Tuesday, December 28, 2010

Feri karam di Mersing, tiga maut

Dis 26, 10 6:03pm

Tiga maut, dua lagi masih hilang apabila feri yang membawa 29 penumpang karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Sibu ke Terminal Feri Tanjung Leman di Mersing Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kejadian itu berlaku pada 1.30 tengahari tadi.

Menurut salah seorang penumpang yang terselamat, Lim Tai Wee, 35, bot kayu yang membawa 29 penumpang dari sebuah kelong di Sibu, Sarawak terumbang-ambing akibat dipukul ombak sejurus sebelum ia terbalik kira-kira 300 meter dari jeti Tanjung Leman.

Dalam kejadian hari ini tiga orang terkorban manakala dua lagi masih hilang.

Warga Singapura itu berkata beliau sempat berpaut pada serpihan kayu bot yang pecah, sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.

"Cuaca ketika itu agak tidak berapa baik. Apa yang saya ingat, keadaan ketika itu amat kelam-kabut. Bot yang kami naiki terumbang-ambing sebelum ia tiba-tiba terbalik," katanya ketika ditemui di Mersing hari ini.

Seorang rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Yap, 19, pula berkata beliau bernasib baik apabila sempat berpaut pada tong ikan sejurus selepas bot itu terbalik.

Katanya, beliau sempat mendengar jeritan meminta tolong, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan laut yang bergelora.

Penumpang bot itu terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, 19 warga Singapura dan seorang warga China.

Mereka ke kelong berkenaan pagi semalam dan dalam perjalanan pulang ke jeti Tanjung Leman hari ini ketika bot itu terbalik.

Berikutan kejadian itu, polis kini menahan seorang tekong bot berusia 67 tahun dan pengusaha kelong berumur 58 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151705

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...