am@hmetro.com.my
MERSING: “Kami mula runsing apabila air mencurah masuk di bahagian belakang bot, kami maklumkannya kepada tekong tetapi dia meminta kami berganjak ke depan.
“Pada masa sama, tekong meminta kami supaya tidak berasa bimbang, bagaimana kami mahu melegakan perasaan itu kerana jaket keselamatan juga tidak disediakan,” kata wanita warga Singapura yang hanya dikenali sebagai May di sini, semalam.
May yang berusia lingkungan 40-an ditemui di Balai Polis Sungai Ambat, di sini. Beliau antara 24 mangsa terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Leman, kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.
Dalam kejadian itu, lima warga Singapura lemas manakala dua lagi masih hilang.
Identiti mereka yang lemas Low Lee Jun, 33, Chua Lim Khoon, 45, dan Adrian Tan, 67, manakala yang masih hilang dikenali sebagai Eng Kian Tek, 44, dan Tor Soon Kwee, 41.
Menurutnya, penumpang juga memberitahu tekong bot itu terlebih muatan tetapi tekong memberi jaminan tiada apa akan berlaku.
“Walaupun bimbang, kami terpaksa menurut saja dan kami cukup bernasib baik kerana ketika kejadian, beberapa bot nelayan tempatan berada berhampiran lokasi kejadian.
“Apabila bot mula tenggelam, bot nelayan berhampiran datang menyelamatkan kami, bayangkan apa bakal berlaku jika nelayan itu tiada di sini, pasti lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.
May mengatakan dia menghabiskan cuti sambutan Hari Natal selama sehari di kelong itu bersama rakan kenalannya.
“Pengalaman itu sungguh menakutkan tetapi syukur kerana ramai yang selamat,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Bob, 24, mengatakan mereka cuba memberikan bantuan pernafasan kepada tiga yang lemas.
“Kami berusaha untuk menyelamatkan mereka sebelum ketibaan ambulans tetapi gagal berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, pasangan anak beranak yang tidak menaiki bot berkenaan, Solaino Sujak, 25, dan ibunya yang hanya dikenali sebagai Mas, 40, mengatakan mereka bernasib baik kerana kenderaan laut itu sudah penuh.
“Saya dan ibu bernasib baik kerana tidak dapat menaiki bot berkenaan, jika sebaliknya, kami pasti menjadi sebahagian daripada mangsa, lebih teruk lagi mungkin lemas.
“Kami beratur bersama puluhan pelancong lain tetapi apabila tiba giliran kami, ia sudah penuh,” katanya.
Kedua beranak itu kemudian menaiki bot lain dan hanya mengetahui berkaitan kejadian sejurus tiba ke jeti.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2010122701431820101227014318/Article/index_html
No comments:
Post a Comment