Wednesday, January 19, 2011

Debat: Najib wajar sambut tawaran Anwar

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Tawaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali kedua untuk berdebat berkaitan isu Buku Jingga wajar disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini bagi memberikan ruang pertimbangan yang sama rata kepada rakyat dalam menilai hujah oleh kedua-dua pihak.

Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Zaki Sukery (kanan) berkata, golongan mahasiswa kampus di seluruh negara memang ternanti-nanti penganjuran debat kerana ia merupakan salah satu wasilah berkesan dalam mematangkan tawaran pimpinan kepada rakyat, lebih-lebih lagi apabila berbicara soal pengurusan negara.

Katanya, Ia juga dilihat bakal memperluas pandang sisi mahasiswa dalam menilai kualiti dan kompetensi kepimpinan kerajaan mahupun pembangkang.

Hal ini, ujarnya disebabkan oleh mahasiswa merupakan pewaris masa depan negara dan penentu kepada pimpinan sekarang berdasarkan komposisi mereka yang termasuk dalam golongan pengundi muda, kelompok yang membentuk 4.6 juta daftar pemilih atau hampir 50 % daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Beliau turut menegaskan bahawa debat juga tidak patut dilihat sebagai unsur pemecah belah kerana ia merupakan salah satu aktiviti ilmiah di alam kampus, bahkan turut dijadikan bentuk pertandingan domestik atau antarabangsa.

Tambahan pula, katanya banyak negara maju turut mengamalkan konsep debat dalam usaha menyakinkan rakyat kepada tawaran masing-masing, contohnya seperti dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat antara Barack Obama dan John McCain.

Tambah beliau lagi, beberapa pertikaian kepada Buku Jingga seperti yang dimuatkan di dalam media perdana ialah bersifat pramatang dan tidak berasas kerana ia tidak bersandarkan hujah yang konkrit dan hanya berlandaskan rasa curiga semata-mata.

“Maka, sewajarnya tawaran debat diterima bagi membumikan nilai politik Malaysia dengan pendekatan intelektual dan ilmiah, berbanding pendekatan emosional dan fitnah,” ujarnya.

Beliau juga menyokong penuh saranan awal Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Mohd Hassan bahawa, Gamis turut bersedia untuk menjadi ‘orang tengah’ di dalam penganjuran debat itu jika perlu.

Ini kerana ia merupakan satu entiti mahasiswa yang terbesar di kampus, mengandungi kira-kira 5,000 orang ahli berdaftar dan tidak mewakili kepentingan mana-mana parti politik.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30438:debat-najib-wajar-sambut-tawaran-anwar&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...