ALOR SETAR: Seorang nenek berusia 51 tahun dicekup berkhalwat dengan ‘anak ikannya’ berusia 24 tahun di hotel murah di Shahab Perdana, di sini, malam kelmarin.
Nenek kepada seorang cucu itu dikatakan sanggup menyewa di hotel berkenaan selepas membuat temujanji dengan pasangannya yang 27 tahun lebih muda daripadanya dan masing-masing baru mengenali sejak sebulan lalu.
Difahamkan, mereka berkenalan selepas seorang daripada mereka tersalah mendail nombor telefon sebelum hubungan itu diteruskan sehingga pertemuan di hotel berkenaan.
Mereka dicekup berkhalwat oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang membuat pemeriksaan di hotel itu kira-kira jam 2 pagi.
Ketua Operasi Jaik, Mohd Nasir Md Dali berkata, anggotanya yang membuat pemeriksaan di hotel murah itu mengetuk pintu sebuah bilik dan memberi salam beberapa kali sebelum dibuka seorang wanita yang memakai baju tidur paras lutut.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan, keadaan dalam bilik itu gelap dan diterangi cahaya televisyen tetapi selepas lampu dibuka, anggota penguat kuasa mendapati seorang lelaki yang hanya berseluar jeans tanpa baju di katil.
Hasil pemeriksaan menemui seluar dalam dipercayai milik wanita itu di atas katil.
“Apabila disoal siasat, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.
“Wanita itu memberi alasan hanya berbual dengan pasangannya di bilik itu selepas keluar berjalan-jalan bersama dan singgah di hotel itu dengan mendaftarkan namanya untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Mohd Nasir berkata, pasangan itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.
Dalam serbuan berasingan, seorang pramugara dicekup berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam di sebuah bilik di Jalan Seberang Perak, kira-kira jam 3 pagi.
Lelaki berusia 29 tahun itu berasal dari Negeri Sembilan, manakala pasangannya berusia 31 tahun yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur menetap di Ukay Perdana, Kuala Lumpur.
“Ketika dicekup, lelaki itu berseluar pendek dan memakai kemeja-T dipercayai baru bangun tidur dan terkejut melihat kehadiran anggota kami.
“Hasil pemeriksaan menemui seorang wanita bukan Islam di dalam bilik itu yang berseluar pendek dan berkemeja T. Mereka mengaku tiada sebarang hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.
Lelaki itu mendakwa baru pulang dari makan di restoran berhampiran tetapi terpaksa menyewa di hotel itu selepas dia mengalami sakit kepala.
Mohd Nasir berkata, pihaknya membebaskan lelaki itu dengan jaminan kerana dia memberi alasan kerana meneruskan penerbangan ke Melbourne, Australia keesokannya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nenek_pemudadicekupkhalwat/Article/index_html
No comments:
Post a Comment