Wednesday, January 19, 2011

KAFA: Tidak adil tiada elaun lebih masa

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 19 Jan: Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pahang menganggap tindakan kerajaan mengarahkan guru-guru Kelas Al-Qur-an dan Fadhu Ain (KAFA) negeri ini berkhidmat lebih masa tanpa bayaran yang setimpal adalah tidak adil.

Serentak dengan itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang Roslan Bin Zainal Al-Ahmadi, menggesa pihak kerajaan mengkaji semula elaun bagi mereka demi bebanan tugas yang ditanggung mereka.

Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Pahang mengulas nasib guru-guru KAFA yang diarahkan bekerja lima hari seminggu berbanding tiga hari sebelum ini, dengan kadar elaun tidak berpatutan mulai sesi persekolahan 2011.

Arahan tersebut terkandung dalam surat pekeliling Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) yang bertarikh 3 Disember 2010 (seperti dilampirkan) berikutan kenaikan elaun guru KAFA yang diluluskan kerajaan sebanyak RM800.00 sebulan berbanding RM500.00 sebulan sebelum ini.

“Kenaikan yang sepatutnya menggembirakan guru KAFA, menjadi sebaliknya kerana tambahan waktu bekerja yang melampau. Ini merupakan suatu penindasan kepada guru KAFA. Ketika elaun bulanan mereka RM500.00 sebulan, kadar upah mereka ialah RM20.83 sejam berbanding ketika elaun mereka RM800.00 sebulan, kadar upah mereka merosot sehingga RM13.33 sejam sedangkan bebanan kerja mereka bertambah lebih 100%.

“Sehubungan itu mengambil kira bebanan tugas yang bertambah di samping himpitan kos sara hidup yang meningkat mendadak akibat kenaikan harga minyak sekarang ini, PR Pahang menggesa pihak kerajaan mengkaji semula kadar elaun tersebut dan membuat pembayaran elaun guru KAFA sekurang-kurangnya pada kadar asal RM20.83 sejam. Ini bermakna guru KAFA sepatutnya menerima bayaran elaun RM1249.80 sebulan,” tegasnya.

Tambah Roslan, PR Pahang juga menggesa kerajaan negeri menyediakan premis khusus yang lebih baik untuk KAFA di seluruh negeri Pahang seperti mana di negeri-negeri lain di Semenanjung.

Katanya, ini untuk memberikan keselesaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada warga KAFA di samping tidak mengganggu aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah kebangsaan yang ditumpang oleh KAFA sekarang ini.

“Senario pembelajaran KAFA hari ini khasnya di negeri Pahang memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri tidak memberikan perhatian serius untuk penyediaan sumber manusia mukmin berkualiti untuk negeri ini,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30436:kafa-tidak-adil-tiada-elaun-lebih-masa&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...