Wednesday, January 19, 2011

Pemuda PAS Wilayah setuju pendirian Jakim

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diminta menyemak balik pandangannya mengenai penggunaan pembesar suara di masjid dan surau kerana ia tidak sepatutnya digunakan untuk laungan azan sahaja.

Penggunaan pembesar suara merupakan sesuatu yang penting dalam konteks dakwah, tetapi jika dihadkan kepada azan sahaja, ia akan menyempitkan ruang untuk berdakwah kepada masyarakat.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Mohamad Suhaimi Abdul Aziz menegaskan, selain azan, pembesar suara juga patut digunakan untuk bacaan khutbah Jumaat dan kuliah agama kerana ia merupakan suatu langkah baik bagi kegiatan dakwah.

Menurut beliau, perkara itu sejajar dengan fungsi masjid dan surau itu sendiri yang bukan hanya tempat untuk bersolat sahaja, tetapi juga bagi pelbagai aktiviti berfaedah lain untuk umat Islam dan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang menyifatkan sebarang cadangan agar mengehadkan penggunaan pembesar suara di masjid hanya kepada azan sahaja sebagai melampau dan berniat jahat.

"Dalam hal ini, saya memang bersetuju dengan pandangan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz itu. Saya juga amat bersetuju dengan langkah Jakim yang akan mengarahkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan meneruskan amalan pembesar suara seperti biasa," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Mohamad yang menyifatkan sebarang cadangan agar mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk tujuan azan sahaja sebagai melampau dan berniat jahat.

Menurut Wan Mohamad, masjid dan surau bukan hanya tempat bersolat sahaja, tetapi banyak lagi aktiviti berfaedah lain yang dijalankan di masjid dan surau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Jakim akan mengarahkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan meneruskan amalan pembesar suara seperti biasa yang telah diamalkan sejak sebelum merdeka.

Malah, jika ada aduan mengenai nada speaker atau pembesar suara di masjid atau surau terlalu perlahan, pihaknya akan mengarahkan agar ditinggikan pada kadar yang munasabah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya hanya azan sahaja yang menggunakan pembesar suara manakala bacaan lain tidak perlu.

Asri berpendapat, umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka yang berada di dalam masjid.

Manakala Harussani pula menyifatkan tindakan pengurusan masjid menggunakan pembesar suara selain azan di masjid hanya akan mengganggu ketenteraman orang lain terutamanya orang bukan Islam.

Kontroversi isu azan timbul selepas seorang peguam bukan Islam, Ng Kian Nam, mempertikaikan bunyi azan yang kononnya terlalu kuat di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi sehingga mengganggunya, menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri 20 Disember lalu meminta diambil tindakan bagi memperlahankannya.

Bagaimanapun, semalam, Ng telah memohon maaf kepada umat Islam di atas tindakannya itu dan menjelaskan tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu tersebut.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohamad Suhaimi berkata, penggunaan pembesar suara di masjid dan surau tidak sepatutnya dihadkan kepada laungan azan sahaja kerana selama ini pun tidak pernah timbul sebarang masalah jika ia turut digunakan untuk khutbah Jumaat, kuliah agama dan sebagainya.

Sambil menyifatkan cadangan tersebut sebagai mundur ke belakang, beliau berharap agar mereka yang mempunyai pandangan seperti itu agar menyemak balik pandangan mereka bagi kepentingan dakwah di negara ini, termasuk dalam konteks dakwah kepada kalangan umat Islam sendiri dan mereka yang bukan Islam.

"Penggunaan pembesar suara di masjid dan surau bagi tujuan azan, khutbah Jumaat, kuliah agama dan sebagainya sememangnya sudah diamalkan oleh kita sejak sekian lama. Itu semua turut difahami oleh mereka yang bukan Islam. Jadi kenapa pula kita hendak hadkan penggunaannya untuk azan sahaja?

"Kalau pun ada masalah yang timbul dalam lingkungan setempat atau tempatan, kita boleh bincang perkara itu dengan pihak terbabit dan kemudian jelaskan kepentingan penggunaannya itu bagi umat Islam, bukannya mencadangkan agar hanya digunakan untuk tujuan azan sahaja.

"Begitu juga jika ada pertikaian tentang penggunaan pembesar suara yang kononnya terlalu kuat dari pihak tertentu yang tidak memahami fungsi penggunaan pembesar suara dalam konteks azan, ia juga boleh dibincangkan dengan pihak terbabit untuk dijelaskan perkara itu.

"Setelah dijelaskan dan pihak terbabit memahaminya, tidak timbullah sebarang masalah. Itulah juga yang berlaku selama ini. Jadi kenapa pula laungan azan menerusi pembesar suara mesti diperlahankan? Kenapa pula hanya dicadangkan untuk digunakan bagi tujuan azan sahaja?" tanya beliau.

Beliau berharap agar tidak ada pihak yang terpengaruh dengan cadangan itu. Sebaliknya, semua masjid dan surau di seluruh negara terus menggunakan pembesar suara bagi bagi tujuan azan, khutbah Jumaat, kuliah agama dan sebagainya seperti biasa dan dengan nada suara yang biasa.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30437:pemuda-pas-wilayah-setuju-pendirian-jakim&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...