Wednesday, January 19, 2011

Zakat: Selangor kutip RM336.8 juta tahun lepas

Azmi Yusof

SHAH ALAM, 19 Jan: Selangor berjaya mengutip sebanyak RM336.8 juta zakat pada tahun lepas, berbanding RM283.7 juta pada 2009.

“Jumlah ini meningkat sebanyak 19 peratus dengan perbezaan sebanyak RM53.1 juta,” ujar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2010 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM319.5 juta dikutip daripada zakat harta manakala RM17.3 juta daripada zakat fitrah.

Pada tahun lepas, ujarnya, kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak 20 peratus daripada kutipan pada 2009.

Beliau menambah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengutip zakat harta sebanyak RM267.1 juta pada 2009 berbanding RM319.5 juta tahun lepas.

Menurutnya, jumlah pembayar zakat bagi tahun lepas seramai 167,990 orang iaitu meningkat lapan peratus berbanding 155,300 orang pada tahun sebelumnya.

Mengenai zakat fitrah pula, tambahnya, Masi melalui LZS berjaya mengutip sebanyak RM17.3 juta pada tahun 1431 Hijrah berbanding RM16.6 juta pada tahun sebelumnya.

“Bilangan umat Islam yang membayar zakat fitrah pada tahun lepas ialah seramai 2.5 juta orang,” jelasnya.

Tambahnya, LZS meletakkan sasaran kutipan pada tahun ini sebantak RM350 juta dengan mengambil faktor keadaan ekonomi yang stabil dan kesedaran membayar zakat yang semakin meningkat.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30442:zakat-selangor-kutip-rm3368-juta-tahun-lepas&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...