Monday, January 3, 2011

Presiden NUJ dikenakan siasatan dalaman

Presiden NUJ dikenakan siasatan dalaman
Jimadie Shah Othman
Jan 3, 11
12:18pm

Kelantangan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akhirnya membawa padah apabila beliau dipanggil menjalani siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media.

NONEMenurut Hata (kanan), berdasarkan surat daripada bahagian sumber manusia Utusan bertarikah 23 Disember, beliau dikehendaki hadir bagi sesi itu di ibu pejabat syarikat penerbitan akhbar itu di Cheras pada 6 Januari.

"Saya dibenarkan melantik seorang wakil dalaman bagi berhujah bagi pihak saya," kata wartawan kanan di akhbar milik Umno itu.

Beliau dituduh menyindir pengurusan dan memburukkan imej syarikat ekoran komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita, antaranya mengkritik Utusan Malaysia.

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'.

Pandangan dan kritikan terbukanya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Dua surat tunjuk sebab

Hata juga dilapor diminta meletakkan jawatan di Utusan jika tidak selari dengan perjuangan akhbar tersebut "untuk menyedarkan orang Melayu".

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Hata turut mendedahkan, belum sampai sebulan dipilih menjadi presiden baru kesatuan itu pada awal September lalu, beliau telah menerima surat tunjuk sebab pertama daripada Utusan.

azlan"Ia ekoran kenyataan pertama saya selepas menjadi presiden," katanya sambil memberitahu menerima sepucuk lagi surat tunjuk sebab pada bulan berikutnya.

Bagaimanapun, Hata berkata, dalam surat tunjuk sebab itu, beliau turut didakwa mendedahkan rahsia syarikat - perkara yang didakwa tidak dihadapinya dalam siasatan dalaman yang akan berlangsung.

Ditanya sama ada beliau akan memberikan kerjasama dalam siasatan dalaman itu, Hata menjawab ringkas:

"Saya pergilah (sesi tersebut), tak ada masalah."

Hata - pemimpin kesatuan yang dianggotai kira-kira 1,300 wartawan - juga berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan terhadapnya itu kerana "perkara itu sudah dijangkakan".

Pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

http://malaysiakini.com/news/152233

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...