Monday, January 3, 2011

SUK: Khir langgar Perlembagaan, KSN abai pentadbiran bijak

Harakahdaily

SHAH ALAM, 3 Jan: Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah melanggar Perlembagaan apabila beliau membiarkan dirinya dibelakangi dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdahulu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) berkata, Khir telah mengizinkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) melantik Datuk Ramli Mahmud sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa berunding dengan Menteri Besar seperti yang disyaratkan Perlembagaan.

“Beliau telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

Khusrin masuk pejabat

“Saya sudah masuk kerja, saya datang ke pejabat untuk jalankan tugas pada pukul 6.45 pagi tadi.

“Setakat ini tiada apa-apa masalah mengenai kerja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perlantikan beliau menimbulkan pelbagai reaksi negatif dari pelbagai pihak kerana ia tidak pernah dirujuk kepada Menteri Besar Selangor terlebih dahulu.

(Gambar: Khusrin di pejabat SUK Selangor hari ini)

Mengulas perkara ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, ia kini tinggal sejarah dan tidak boleh dibuat apa-apa lagi selepas Khusrin dibenarkan masuk ke pejabatnya.

"Tinggal sejarah! Tidak ada apa yang boleh diubah lagi kerana dia telah dibenarkan masuk," tulis Nizar dalam twiiternya.

Nizar juga menghadapi masalah yang sama apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Perak adalah antara pihak yang terlibat menjatuhkan kerajaan neheri Pakatan Rakyat sebelum ini.

Media hari ini melaporkan, Exco kerajaan negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat mereka hari ini bagi membincangkan tindakan kerajaan negeri ekoran tindakan Khusrin.

"Dalam pengurusan, ketua sepatutnya mempunyai hak untuk memilih anggota pasukannya.

"Kalaulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tidak boleh memilih Ketua Setiausaha Negara (KSN), apa agaknya perasaan beliau," kata Khalid.

KSN salahguna Perlembagaan

Kerajaan Selangor, kata Faekah enggan meneruskan ketidakpedulian Khir Toyo terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan KSN menyalahguna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tambahnya, KSN telah mengabaikan kebijaksanan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa kerana KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar.

“Umno BN telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Negara pada 1993 tetapi sekarang mereka cuba bersembunyi di sebalik Istana untuk meneruskan agenda politik jahat,” tegasnya.

Menurutnya lagi, seperti dalam isu-isu lain, Khir Toyo tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemubual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kami mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

“Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil. Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, hanya kerana kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan sekarang perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30142:suk-khir-langgar-perlembagaan-ksn-abai-pentadbiran-bijak&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...