SERIAN: Perasaan curiga seorang tukang cuci melihat tangki pam tandas wanita di Hospital Serian di sini dalam keadaan tidak tertutup rapat membawa kepada penemuan mayat janin yang disumbat ke dalam tangki itu, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, tukang cuci terbabit berasa curi apabila melihat tangki pam tandas yang dicucinya dalam keadaan terbuka, lalu cuba menutupnya. Namun, sebaik saja mengangkat penutup tangki pam itu, dia terkejut apabila melihat mayat janin dalam keadaan terperosok akibat disumbat ke dalam tangki itu.
Tukang cuci wanita berkenaan segera memaklumkan penemuan janin itu kepada kakitangan hospital sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, ketika dihubungi semalam berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati janin seberat satu kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tandas terbabit sebelum disumbatkan ke dalam tangki pam berkenaan.
“Kami percaya ibu bayi terbabit cuba menyembunyikan kelahiran dengan menyumbat janinnya ke dalam tangki pam tandas bagi mengelak diketahui keluarga,” katanya.
Menurutnya, janin berkenaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan polis sedang menjejaki individu bertanggungjawab.
“Polis turut menyemak senarai nama pesakit memasuki wad bersalin untuk mencari suspek perbuatan keji ini,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sumbatjanindalamtangki/Article/index_html
No comments:
Post a Comment