SRI AMAN: “Saya sangka ia kaki anak patung, tetapi apabila diperiksa hati saya jadi sayu dan marah apabila mendapati ia sebenarnya mayat bayi lelaki,” kata seorang penduduk Kampung Triso, Meludam, di sini, Khamis lalu.
Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, dia mengakui amat geram dan marah terhadap pihak tidak bertanggungjawab membuang bayi berkenaan di situ selepas melihat bayi yang tidak bersalah itu dalam keadaan reput dan dihurung semut di tapak pelupusan sampah itu.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dia ke tapak pelupusan yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk membuang sampah sebelum ternampak kaki mirip anak patung terkeluar dari satu bungkusan di timbunan sampah terbabit.
“Kerana curiga, saya memeriksa plastik sampah itu dan terkejut mendapati ia mengandungi mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat.
“Keadaan mayat bayi itu cukup menyedihkan kerana seluruh badannya lebam dan kehitaman akibat terkena kotor sampah selain dihurung semut,” katanya.
Terkejut dengan penemuan itu, Ahmad segera memanggil beberapa penduduk kampung ke tapak pelupusan berkenaan sebelum menghubungi Balai Polis Meludam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bayi lelaki yang masih bertali pusat itu disahkan meninggal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui.
Katanya, berikutan penemuan terbabit pada 30 Disember lalu, polis melakukan siasatan untuk mencari individu yang bertanggungjawab dan menahan dua suspek di rumah masing-masing di kampung terbabit, petang Jumaat lalu.
“Suspek wanita berusia 21 tahun ditemui lemah selepas tidak sampai seminggu melahirkan bayi manakala seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di rumahnya tidak jauh dari rumah suspek pertama.
“Suspek lelaki sudah berkahwin dan menjalinkan hubungan sulit dengan suspek perempuan sebelum kekasihnya itu melahirkan anak luar nikah seorang diri,” katanya.
Mat Jusoh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan masih hidup ketika dibuang di tapak pelupusan sampah, namun disebabkan kawasan berkenaan agak jauh dari kampung, tiada penduduk yang menemuinya lebih awal.
“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat,” katanya.
Manakala, dua suspek terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayatnya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayasangkakakianakpatung/Article/index_html
No comments:
Post a Comment