Thursday, February 17, 2011

‘10 tahun dilayan macam anjing’

KOTA BHARU: “Sepanjang sepuluh tahun mendirikan rumah tangga, saya dilayan suami macam ‘anjing’ dan kemuncaknya berlaku malam semalam (kelmarin), apabila tubuh saya dipukul, disepak dan dipijak gara-gara perselisihan faham,” kata penasihat jualan kereta, semalam.

Mangsa berusia 30 tahun dan enggan namanya disiarkan berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu akibat didera suami hingga mengalami kecederaan dengan kesan lebam di kepala, belakang badan dan tangan.


Menurut mangsa, dia acap kali menerima penderaan fizikal daripada suaminya yang berusia 39 tahun setiap kali berlaku perselisihan faham sehingga mendakwa pernah dirawat di hospital swasta tahun lalu akibat didera suami.

“Sudah banyak kali saya dipukul suami dan sepanjang tempoh berkenaan saya pernah membuat laporan polis beberapa kali, namun tidak ada sebarang tindakan. Kejadian tahun lalu menyebabkan kepala saya cedera dan dirawat di hospital swasta.


“Berikutan kejadian itu, saya membuat permohonan cerai di mahkamah sivil, namun sehingga kini belum ada sebarang kata putus daripada pihak berkenaan berikutan kegagalan suami menghadirkan diri,” katanya.


Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian kelmarin menguji kesabaran dirinya sebagai isteri kerana diancam pukul oleh suami dengan kayu hoki selepas diminta menandatangani surat aku janji menyerahkan penjagaan tiga anak serta tidak menuntut hartanya.

“Dalam kejadian jam 10 malam itu, kami berdua bertengkar, namun bertukar sebaliknya hingga berlaku pergaduhan. Mulanya, saya dipukul dengan tangan dan terkena kepala serta bahu menyebabkan saya membalasnya dengan memukul di dada.


“Selepas itu, saya diancam suami dengan kayu hoki dan tindakannya menyebabkan saya menandatangani sehelai kertas A4 yang meletakkan syarat supaya tidak mengambil tiga anak dan menuntut harta,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011021601255820110216012558/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...