Thursday, February 17, 2011

Unisel jadi Universiti Selangor

Harakahdaily

SHAH ALAM, 16 Feb: Universiti milik penuh Kerajaan Selangor, Universiti Industri Selangor (Unisel) secara rasmi ditukar nama kepada Universiti Selangor berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penukaran nama itu selaras dengan program penjenamaan semula Unisel yang telah berusia 11 tahun dan bagi memenuhi cabaran masa kini.

Katanya, nama "industri" yang diberikan untuk memenuhi keperluan industri Selangor satu ketika dahulu, perlu ditukar selaras dengan perkembangan ekonomi.

Tambahnya, Unisel perlu menjadi lebih komprehensif dengan menawarkan kursus-kursus bukan sahaja industri malah sains, teknologi, bahasa dan komunikasi.

“Penjenamaan semula ini sebagai proses transformasi untuk melonjakkan nama Unisel sehingga ke peringkat antarabangsa dan setaraf dengan universiti tempatan yang sedia ada.

“Penukaran nama ini telah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi hari ini. Kita akan mengadakan majlis sambutan sempena penukaran nama ini pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan perkembangan akademik yang pesat, Unisel juga perlu melakukan perubahan positif yang mencerminkan hasrat Kerajaan Selangor yang mahu melahirkan modal insan yang cemerlang dan mampu menyumbang kepada kemajuan di Malaysia dan Selangor.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono dan warga kerja Unisel yang berusaha keras untuk membawa Unisel sehingga ke tahap sekarang.

“Saya berharap penjenamaan semula Unisel ini bukan hanya dari segi penukaran nama sahaja tetapi juga disusuli dengan usaha dan tatacara kerja yang professional, telus dan bertanggungjawab,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30893:unisel-jadi-universiti-selangor&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...