Thursday, February 17, 2011

Suhakam: Isu tanah di Sabah pada peringkat serius

Suhakam: Isu tanah di Sabah pada peringkat serius
Feb 16, 11 4:18pm

Pelbagai isu tanah yang dihadapi oleh penduduk tempatan kini pada peringkat serius yang memerlukan penyelesaian segera, menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jannie Lasimbang.

Jannie LasimbangBeliau berkata berdasarkan statistik Suhakam dari tahun 2005 hingga tahun lepas, Sabah mencatatkan jumlah aduan paling banyak mengenai isu tanah di negara ini dengan 977 kes, diikuti Semenanjung Malaysia, 654 kes dan Sarawak 251 kes.

"Ia adalah isu yang serius kerana ia membabitkan semua masyarakat di Sabah. Penyelesaian terlalu lambat dan mengambil masa.

"Sebagai contoh tahun lalu saja, daripada 92 aduan kita terima di Sabah, kita hanya mampu menyelesaikan dua kes...memang ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan semua aduan," katanya selepas menghadiri perbincangan awal mengenai cadangan inkuiri nasional mengenai isu tanah di Kota Kinabalu, hari ini.

sabah native end of conflict 031205Menurutnya antara isu utama tanah yang dibangkitkan penduduk luar bandar kepada Suhakam ialah percanggahan kepentingan yang membabitkan pembinaan empangan, perladangan dan nasib penduduk yang ditempatkan semula setelah didapati menduduki hutan simpanan buat sekian lama.

Dalam hubungan ini, beliau berkata telah tiba masanya untuk ADUN membahaskan isu tanah, khasnya aduan yang diterima Suhakam, dengan harapan untuk mencari penyelesaian yang berkekalan.

Beliau berkata Suhakam akan mengutarakan isu tanah pada inkuiri nasional yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini, dan pada masa yang sama, suruhanjaya itu akan menyedarkan orang ramai mengenai tindakan positif kerajaan negeri untuk menangani isu tanah.

Lasimbang berkata ini termasuk tindakan Sabah Parks memperuntukkan sebahagian daripada kawasan tanahnya untuk zon komuniti dan memberikan hak milik berkelompok masyarakat.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/156178

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...