Thursday, February 17, 2011

Demokrasi: Suhakam diminta desak universiti

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diminta mendesak universiti-universiti supaya menghidupkan demokrasi di kampus yang telah mati kini akibat cengkaman pihak pentadbiran universiti.

Badan tersebut diminta antara lain membebaskan mahasiswa daripada cengkaman politik kepartian yang menggugat keharmonian perjalanan politik kampus, sehingga menjadikan pilihanraya kampus tidak adil dan tidak telus.

Pengerusi Majlis Politik Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Ahmad Syukri Abdul Razak selain itu turut meminta Suhakam memainkan peranan mendesak beberapa universiti mengambil beberapa langkah lain bagi kepentingan para pelajar.

Menurut beliau, antaranya termasuklah mendesak universiti mengembalikan semula demokrasi dan kebajikan mahasiswa di seluruh kampus, dengan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk berpolitik secara sah di dalam kampus tanpa ada ugutan atau halangan daripada pihak pentadbiran.

Katanya, pusat pengundian pula harus ditukar dari kolej ke fakulti kerana pemusatan pengundian di kolej akan memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu menyeleweng dan menggunakan sesetengah pihak dalam mengotorkan ketelusan demokrasi pilihanraya.

"Kita juga berharap agar Suhakam dapat memainkan peranan bagi melantik sebuah suruhanjaya bebas untuk memastikan perjalanan pilihanraya kampus adalah mengikut landasan yang betul, bagi mengelakkan timbulnya kesangsian tentang demokrasi yang terdapat di kampus sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghantar memorandum kepada Suhakam di pejabat Suhakam, di sini, hari ini, bagi mewakili para pelajar universiti di seluruh negara, khususnya Pro Mahasiswa, dengan diiiringi lapan orang rakannya yang lain.

Antara yang mengiringi beliau termasuklah Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional yang juga dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Taufiq Abdul dan Setiausaha Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipendan (Kami), Nazrin Jaafar.

Memorandum tersebut dihantar kepada pihak Suhakam sekitar jam 4 petang ini dan diterima oleh Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah.

Ketika membacakan memorandum tersebut kepada pihak Suhakam, beliau turut meminta Suhakam mengeluarkan desakan kepada pihak pentadbiran universiti supaya memansuhkan sistem e-voting bagi menjamin ketelusan perjalanan pilihanraya.

"Selain itu, kami berharap agar Suhakam turut mendesak pihak pentadbiran universiti agar mengumumkan tarikh pilihanraya yang lebih awal supaya tidak menjadi rahsia serta tidak dimanipulasikan pihak tertentu.

"Tempoh berkempen pula perlu dipanjangkan selama satu minggu. Hal ini dituntut kerana kami mahu menerapkan politik kampus dalam kalangan mahasiswa yang rata-rata tidak memahami politik kampus dengan jelas," katanya.

Di samping itu, mereka turut menuntut pihak pentadbiran universiti agar memberikan cuti kepada para pelajar pada hari penamaan calon dan pembuangan undi.

"Kami menuntut perkara ini adalah kerana mahu menjaga demokrasi kampus dan merupakan pesta demokrasi kampus dalam pilihanraya kampus. Malahan dalam pilihanraya umum juga SPR pun memilih hari cuti untuk mengadakan pilihanraya tersebut," katanya.

Ketika membacakan memorandum itu, beliau menjelaskan, memorandum tersebut merupakan memorandum kedua yang dihantar oleh pihaknya, setelah memorandum pertama yang dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khalid Nordin beberapa hari lalu tidak dilayan dengan sewajarnya.

Kontroversi politik kampus sehingga menyebabkan pelbagai pihak turut menyifatkan demokrasi di kampus kini telah mati antara lain boleh disaksikan dengan pelbagai insiden tidak sepatutnya di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagi menyedarkan semua pihak tentang kedudukan demokrasi di kampus yang telah mati kini, mereka turut membawa replika keranda dan replika mahasiswa yang digantung sehingga mati ke pejabat Suhakam untuk dijadikan titik renungan semua pihak.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30901:demokrasi-suhakam-diminta-desak-universiti&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...