Sunday, February 6, 2011

Arab Saudi pinjamkan 2 pesawat pada M'sia

Feb 6, 11 11:29am

Kerajaan Arab Saudi turut membantu dalam proses penghantaran pulang penuntut Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir dan kini sedang ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj di Jeddah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan Arab Saudi telah bersetuju membenarkan dua pesawat milik Saudi Airlines digunakan bagi membantu mempercepatkan proses membawa pelajar pulang ke tanah air.

"Kerajaan Arab Saudi telah bermurah hati memberi kita penerbangan ihsan menggunakan dua buah pesawatnya jenis 747 iaitu jumbo jet Saudi Airlines," katanya kepada Bernama di Jeddah.

Sementara itu, beliau berkata penerbangan sulung dari Jeddah menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 747 yang membawa kumpulan pertama 450 pelajar dijangka berlepas petang ini dan dijangka tiba di KLIA, Isnin.

Beliau berkata sehingga kini seramai 3,615 orang pelajar telahpun berada di Madinatul Hujaj dan akan dihantar pulang secara berperingkat-peringkat.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail memuji sikap penuntut Malaysia yang sentiasa bersabar dan penuh disiplin dalam operasi memindahkan mereka daripada Kaherah ke Jeddah.

Katanya, sememangnya perkara membawa keluar baki 9,000 penuntut Malaysia di Mesir ke Jeddah bukanlah satu perkara mudah dan ia memerlukan perancangan yang teliti.

"Saya juga melihat pelajar kita berani dan dengan kebijaksanaan, mereka berjaya melepasi sekatan yang dibuat bukan oleh tentera atau polis tetapi orang awam (untuk ke lapangan terbang Kaherah).

"Ada juga makanan yang kita bawa untuk pelajar kita di lapangan terbang dirampas sebanyak tiga kali. Tetapi akhirnya, kita mencari jalan-jalan lain yang dapat melepasi sekatan dan kita berjaya. Sebenarnya inilah cabaran kita kerana ia bukan berada di bawah kawalan kita," katanya.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata 64 daripada 129 penuntut negeri itu yang sedang menuntut di Mesir telah dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi, Khamis lepas.

Beliau berharap ibu bapa penuntut terbabit supaya sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak mereka melalui stesen Radio Perlisfm yang melaporkan perkembangan terkini di Mesir melalui temu bual dengan Yang Dipertua Persatuan Pelajar Perlis di Mesir Syed Aisam Syed Idris yang masih berada di Kaherah.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/155306

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...