Sunday, February 6, 2011

FOMCA: Awas penipuan jurujual kereta

Feb 5, 11 5:00pm

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membeli kereta kerana banyak kes penipuan membabitkan jurujual syarikat pengedar kenderaan dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata orang ramai tidak menyedari bahawa mereka telah tertipu oleh jurujual kereta sehinggalah kereta tempahan mereka tidak diterima pada masa yang ditetapkan.

"Banyak kes membabitkan penipuan penjualan kereta berlaku akibat kesilapan oleh pembeli sendiri seperti tidak menyiasat latar belakang syarikat pengedar kenderaan, berapa lama jurujual itu telah bekerja dengan syarikat berkenaan, adakah syarikat itu mempunyai rekod penipuan oleh jurujualnya dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah laporan akhbar semalam mengenai hasrat seorang pesara tentera, Anuar Ariffin, 45, untuk memiliki sebuah kereta baru tidak kesampaian setelah wang deposit RM23,550 yang dibayar lesap didakwa dibawa lari seorang jurujual syarikat pengedar kenderaan pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Anuar, beliau membayar wang deposit itu dengan cara membuat pertukaran kereta Perodua Myvi miliknya dan menambah wang tunai RM2,616 bagi menggenapkan baki deposit sebanyak RM23,550 yang perlu dibayarnya.

Bagaimanapun jurujual tersebut gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kereta barunya selepas tiga bulan menunggu malah pihak syarikat pengedar kenderaan juga memberitahu bahawa jurujual itu telah berhenti kerja dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jurujualnya.

Anuar membuat laporan polis dan turut mengemukakan masalah itu kepada Tuntutan Tribunal Pengguna dan kesnya masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Muhammad Shaani menasihati orang ramai agar melakukan penyelidikan dahulu sebelum membeli kereta dengan tidak menumpukan terhadap satu kedai sahaja dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang mahir dalam urusan jual beli kereta.

Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa seperti polis dan agensi penguatkuasa yang berkaitan agar memastikan kes-kes penipuan penjualan kereta itu tidak berulang kerana ia memberi bebanan kepada pengguna.

Sekiranya pembeli itu mempunyai wang yang mencukupi mereka boleh melantik seorang peguam untuk mengendalikan kes tersebut tetapi kos guaman lazimnya tinggi dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, katanya.

Beliau berkata Fomca mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani kes penipuan penjualan kereta kerana wujud individu yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan dalam masa yang pantas.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155272

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...