KUALA LUMPUR: Semua wartawan Malaysia yang membuat liputan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Mesir berada dalam keadaan selamat walaupun ada peralatan seperti kamera dan perakam video mereka dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, Imigresen Mesir merampas peralatan berkenaan daripada kru media elektronik dari TV3, Astro AWANI dan TV Al Hijrah sebaik tiba di lapangan terbang itu.
“Kemungkinan pihak berkuasa negara itu tidak mahu media asing membuat liputan mengenai pergolakan politik di negara itu,” katanya semalam.
Shahlan antara beberapa pegawai dan pemimpin yang berada di negara itu bagi menguruskan perpindahan pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap akibat kebangkitan rakyat negara itu mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar kru stesen televisyen itu mendapat kembali kamera dan perakam video mereka dan Kedutaan Malaysia di sini berbincang dengan pihak berkuasa Mesir bagi mendapatkan semula barangan lain yang turut dirampas.
Antara insiden yang menimpa wartawan Malaysia di Mesir ialah kejadian di mana wartawan TV3 dan Berita Harian ditahan tiga kali pada Khamis lalu ketika menemuramah kumpulan pelajar Malaysia di lapangan terbang itu.
Mereka juga diacu pisau oleh sekumpulan lelaki bersenjata, termasuk pistol, ketika menaiki teksi dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan.
Shahlan juga memaklumkan, beliau mendengar laporan mengenai kru wartawan yang menaiki van ditahan penduduk ketika melalui beberapa sekatan jalan sebelum mereka dilepaskan.
“Yang saya faham, mereka dalam perjalanan pulang ke tempat tinggal selepas perintah berkurung beroperasi dan sebab itu mungkin mereka ditahan,” katanya.
Kelmarin, 12 wakil media dan empat anggota Kelab Putra 1Malaysia ditahan lima pemuda tempatan yang membawa besi, kayu dan pelbagai jenis senjata.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahlan berkata, seramai 400 pelajar Malaysia di Mesir dijangka tiba ke tanah air esok, menerusi penerbangan MAS dari Jeddah.
Beliau berkata, penerbangan sulung itu pada mulanya ditangguhkan berikutan masalah teknikal dan dijangka tiba jam 9 pagi.
Katanya, kumpulan pelajar itu akan dibawa pulang menerusi penerbangan MAS dan bukan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti perancangan awal.
“Kami mendapatkan persetujuan MAS yang menyediakan ruang lebih besar untuk membawa pulang lebih ramai pelajar sekali gus,” katanya.
Shahlan berkata, 4,914 pelajar dipindahkan dari Kaherah ke Jeddah setakat ini.
Lapan pesawat — dua MAS, tiga pesawat TUDM C130 dan tiga AirAsia — digunakan untuk memindahkan pelajar terbabit semalam. — Bernama
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wartawanselamat/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment