Sunday, February 6, 2011

Paip gas untuk Israel diletup

KAHERAH: Saluran paip yang membekalkan bahan bakar dari Mesir ke Israel diletupkan berhampiran Gaza, semalam, dan seperti dijangka, kerajaan menyalahkan ‘pihak asing’ bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Menurut sumber, penyerang menggunakan bahan letupan bagi merosakkan saluran berkenaan di bandar Lihfen.


Katanya, tentera kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak kejadian sama daripada merebak ke kawasan lain.

Bomba pula berjaya memadamkan api akibat letupan itu.


Sementara itu, radio Israel memetik pegawai Mesir sebagai berkata, serangan itu dilakukan pada waktu subuh menggunakan sedikit bahan letupan.


Justeru, kerosakan daripada letupan itu adalah kecil.

Kata sumber, kebakaran berlaku selama tiga jam sebelum dapat dipadamkan, tetapi bekalan ke Israel dan Jordan terpaksa dihentikan.


“Tidak dapat dipastikan sama ada kejadian itu ada kaitan dengan protes rakyat Mesir ke atas Presiden Hosni Mubarak,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan Badwi bersenjata pernah mengancam menyerang saluran paip itu dan memaksa pihak berkuasa meningkatkan pengawasan di sekitar kawasan berkenaan.


Bantahan itu dibuat kerana masyarakat Badwi mendakwa mereka sentiasa diketepikan daripada pembangunan.


Dakwaan itu turut disokong aktivis hak asasi manusia.


Mereka juga bimbang terhadap kemungkinan polis mengambil kesempatan daripada keadaan semasa untuk melakukan tekanan ke atas masyarakat Badwi.


Mesir membekalkan kira-kira 40 peratus daripada keperluan gas asli Israel dan pada Disember lalu, empat pegawai Tel Aviv menandatangani kontrak 20 tahun mengimport bahan itu dari Mesir.


Kontrak itu dianggarkan bernilai sehingga AS$10 bilion (RM30.4 bilion)
- AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PaipgasuntukIsraeldiletup/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...