Monday, February 21, 2011

Buktikan kenyataan Nik Aziz sesat


Idris Ahmad

Tuduhan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan PAS telah longgar pegangan agama sejak berkawan dengan Pakatan Rakyat adalah tidak benar. Tolong buktikan di manakah kenyataan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalahi syariat dan merugikan perjuangan Islam.

PAS mempunyai bukti kenyataan Tun yang mengguriskan Islam dan umat Islam selama ini. PAS boleh buktikan dengan tahalluf siasi Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno bersama Barisan Nasional dalam program Islamisasi. Masjid di negeri Pakatan Rakyat makmur dengan majlis ilmu sedangkan di waktu yang sama, di negeri Umno memerintah masjid mati sebelum penduduk mati.

MCA berkawan dengan Umno 53 tahun gagal untuk memahami hukum bersalam lelaki dengan perempuan. Puncanya pemimpin orang seperti Tun gagal menunjukkan watak sebagai seorang Muslim yang hakiki.

Kenyataan Tun agak kelakar, kerana menuduh Tuan Guru Nik Aziz hanya hendak menang pilihan raya. Mana ada parti politik yang bertanding tidak mahu menang. Parti tupperware saja yang tidak mahu menang.

Sepanjang Tun memimpin Umno, bermati-matian melanggar segala undang-undang dan mencabul demokrasi, semuanya kerana hendak menang pilihan raya.

Memang PAS hendak menang pilihan raya, supaya Islam dihayati. Bukan dapat kuasa supaya Islam dimatikan dan syiar Islam dipadamkan. Perjuangan Pas berbeza dengan Umno. Umno menjadikan Islam sebagai alat, bukan matlamat.

Sepanjang PAS bertahalluf dengan parti yang berlainan ideologi, tidak ada yang rugi kepada Islam dan PAS di negara ini. Malah PAS mengambil peluang untuk berdakwah dan menjelaskan keadilan Islam. Selama ini mereka kabur, membuktikan 53 tahun Umno gagal menjelaskan Islam yang sebenar.

Tuduhan Tun yang mengatakan PAS tidak bela penindasan umat Islam di luar negara. Mungkin Tun, buat-buat lupa atau sengaja membuat tuduhan jahat kepada PAS. Seolah-olah Pas parti bawah tempurung sahaja, tanpa memperdulikan umat Islam lain yang tertindas.

Tun tidak sedarkah peranan yang dimainkan oleh PAS dalam isu Palestin, Perang Teluk, perang Afghanistan, Selatan Mindanao, Acheh. PAS membantu dengan sekadar kemampuan sebagai parti yang tidak memerintah negara dengan memberi nasihat dan menghantar barang-barang keperluan kepada mereka yang memerlukan ketika misi kemanusiaan ke negara tersebut.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30932:buktikan-kenyataan-nik-aziz-sesat&catid=85:ketua-penerangan&Itemid=137

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...