BAHAU: “Suaranya yang merintih kesakitan semakin sayup di pangkuan saya dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah,” kata suami Jemelah Mohamad, 53, yang menjadi ‘korban’ anak lelakinya di rumah mereka di Felda Kepis, di sini.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu itu amat menyayatkan hati apabila pekerja kantin sekolah berkenaan dikelar dan ditikam beberapa kali di dada menggunakan pisau oleh suspek berusia 28 tahun dipercayai mengalami masalah mental.
Lebih memilukan apabila mangsa yang ketika itu mahu tidur kerana kepenatan menjerit meminta pertolongan sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri walaupun parah.
Akibat kecederaan teruk dialaminya, wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di hospital, kelmarin.
Menceritakan detik hitam berkenaan, suami mangsa, Sohaimi Maidin, 53, berkata dia dan isterinya berehat di rumah sambil menonton berita di televisyen.
“Namun, dia (isteri) memberitahu mahu tidur di dalam bilik kerana kepenatan bekerja.
“Saya bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa dan mendengar suara seorang rakan dari luar mengajak untuk minum di warung. Ketika itu, saya berat hati untuk keluar dan hanya mahu bersembang dengannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kata bapa kepada empat anak itu, tidak lama kemudian, dia tersentak apabila mendengar jeritan kuat mangsa meminta pertolongan dan segera masuk ke dalam rumah.
“Sejurus tiba di dalam bilik, saya terkejut apabila anak lelaki berada di atas katil dalam keadaan mencurigakan. Selepas menghampirinya, saya mendapati dia (anak) memegang pisau sambil menikam dada mangsa yang berbaring.
“Tanpa berfikir panjang saya memukul dan menariknya manakala mangsa yang berlumuran darah bergegas keluar dari rumah,” katanya.
Menurut Sohaimi, anak kedua daripada empat beradik berkenaan ketika itu tidak melawan dan mendiamkan diri seolah-olah terkejut.
“Dengan bantuan jiran, saya membawa isteri ke hospital untuk rawatan kecemasan. Ketika itu, hati saya pilu melihat isteri yang dalam pangkuan merintih kesakitan.
“Jantung ini seperti mahu gugur apabila doktor di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia jam 1 tengah hari semalam (kelmarin)," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
http://www.hmetro.com.my/articles/Rintihanisteriditikamanak/Article
No comments:
Post a Comment