Monday, February 21, 2011

P’raya tidak telus, sampai bila rakyat boleh sabar

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 21 Feb: Walaupun berlaku ketidaktelusan dalam perjalanan piihan raya di Malaysia, namun hingga kini dilihat rakyat masih boleh bersabar.

Bagaimana pun, sekiranya rakyat merasa kecewa dengan sistem yang ada dan gagal melakukan perubahan melalui cara demokrasi, pilihan rakyat mungkin sama dengan apa yang berlaku di Mesir dan di Tunisia.

Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika bercakap kepada media selepas bertemu dengan para pelajar Kelantan dan keluarga mereka, yang baru pulang dari Mesir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri berkata, peristiwa yang berlaku di Mesir dan di Tunisia itu satu peringatan besar kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Jadi ini satu peringatan yang besar terutama kepada kepimpinan BN di Malaysia.

“Di Malaysia, ketidaktelusan berlaku dalam perjalanan pilihan raya, tetapi sekarang ini boleh jadi rakyat boleh sabar lagi, namun kita tidak tahu pada masa akan datang.

“Kalau rakyat merasa kecewa dengan sistem yang ada dan tidak boleh membuat perubahan melalui cara demokrasi, mungkin akan rakyat pilih sama dengan di Mesir dan Tunisia itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada media pada Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir di Balai Islam, Lundang dekat sini semalam.

Majlis dihadiri lebih 3,000 orang termasuk pelajar Kelantan Mesir dan keluarga itu anjuran Gerakan Membantu Pelajar Mesir (GETIR) Alumni Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) dengan kerjasama pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan.

Mengulas amanah kepimpinan, Mohd Amar berkata pemimpin sepatutnya berkhidmat kepada rakyat di dalam konteks agama, mesti melaksanakan tuntutan agama dalam kepimpinan dan dalam kerjaan.

Ini kerana apabila amanah tidak dilakukan khususnya dalam menjalankan kebajikan rakyat, sekiranya jalan yang biasa tidak ada untuk menukar kerajaan itu maka berlakulah peristiwa luar biasa di mana rakyat turun ke jalan raya dan sebagainya.

Keadaan itu berlaku, katanya kerana rakyat sudah hilang kepercayaan dengan sistem “pilihan raya”.

“Di Mesir ada juga pilihan raya, tetapi pilihan raya itu sendiri terlalu banyak tipu helah dan tipu daya sehingga dalam Pilihan Raya Presiden, Hosni Mubarak mendapat 98 peratus undi, bersekali dengan undi pos. Suatu benda tidak masuk akal.

“Di Mesir itu penipuan dah melampau sehingga akhirnya rakyat tidak ada pilihan lain, hendak buat pertukaran cara biasa tidak boleh, akhirnya rakyat turun ke jalan raya,” dakwanya.

Mengulas cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika Pakatan Rakyat berhasrat memerintah negara, pakatan itu hendaklah memperlihatkan ‘bayangan kabinet’ kepada rakyat, Mohd Amar berkata keupayaan Pakatan Rakyat (PR) sekarang apabila memerintah empat negeri, Pakatan menunjukkan kemampuan sebuah kerajaan.

“Negeri-negeri diperintah PR terutama di Selangor dan Pulau Pinang, dipuji sebagi sebuah Kerajaan yang telus, sebuah kerajaan yang bersih, sebuah kerajaan yang berjaya menyusun ekonomi.

“Dan Kedah sudah pun berjaya meningkatkan hasilnya di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan.

“Di Kelantan pemerintahan sehingga 21 tahun, kita telah menunjukkan perubahan yang menjadi ikutan kepada orang lain.

“Oleh itu tidak perlu kepada ‘kabinet bayangan’, sebab apa yang sudah ada cukup. Kita telah menunjukkan satu perubahan, ini belum sampai satu penggal lagi.

“Jadi kempinan Najib cuba hendak menafikan perkara yang sudah nyata, tidak timbul persoalan kita perlu ada ‘kabinet bayangan’ atau tidak, tetapi bukti itu sudah ada di depan mata,” katanya.

Najib semasa berucap di majlis sempena Tahun Baru Cina di Dataran Politeknik di Merlimau baru-baru ini mendakwa di Malaysia cuma ada cabinet kerajaan saja dan pembangkang tidak tahu untuk memberikan portfolio kepada tokoh yang sesuai di kalangan mereka.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30966:praya-tidak-telus-sampai-bila-rakyat-boleh-sabar&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...