ROM: Panel dianggotai tiga wanita akan menghakimi Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi (gambar) dalam perbicaraan skandal seksnya April depan.
Akhbar mingguan Katolik, Famiglia Cristiana dalam ruangan editorialnya berkata, kegiatan pelacuran menghidupkan roh Nemesis - dewa pembalasan Yunani kuno. “Berlusconi, anda kerap mempermainkan wanita, kini mereka akan menghakimi anda,” lapor akhbar itu. Dewa Yunani itu menjadi simbol paling tepat bagi kes Berlusconi yang dituduh membayar untuk khidmat seks dengan pelacur bawah umur, Karima El Mahroug (Ruby) dan membantunya bebas daripada tahanan polis bagi menutup jenayah dilakukannya. Tiga hakim itu yang dipilih secara rawak melalui komputer adalah wanita iaitu Giulia Turri, Carmen D’Elia dan Orsolina De Cristofaro.
Pihak pendakwaan dalam kes itu diketuai Ilda Boccassini yang sebelum ini menjalankan beberapa siri siasatan mengenai tuduhan rasuah ke atas perdana menteri itu. Majistret bertugas yang meluluskan permohonan supaya Berlusconi dibicarakan atas tuduhan jenayah seksual dan penyalahgunaan kuasa juga wanita, begitu juga dengan pegawai polis yang diarahkan Berlusconi supaya membebaskan Ruby.
Kebanyakan wanita Itali berpendapat, siri skandal seks Berlusconi sedang menuju ke garisan penamat.
“Semua wanita yang terbabit dengan Berlusconi sama ada mereka terkenal atau tidak dikenali, rakan ataupun musuh...sudah menjangkakan kejatuhannya. Era pemimpin yang suka menggoda sudah berakhir,” kata ketua pejuang hak wanita di Itali, Ida Dominjanni. - AFP
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PembalasanBerlusconi/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment